AKSI peserta ketika meredah anak sungai.
AKSI peserta ketika meredah anak sungai.
Oleh Rosman Shamsudin


Kayuh, tolak dan pikul. Itu cabaran terpaksa ditempuh 200 peserta Jambori Kayuhan Amal Baitul Al-Hilmi 2015 di Slim River, Perak baru-baru ini.

Kayuhan sejauh 40 kilometer di sepanjang lereng Banjaran Titiwangsa itu memerlukan mereka mengerah kudrat bagi ‘melawan’ halangan dalam usaha sampai ke garisan penamat.

Semuanya bukan sekadar untuk muncul juara, sebaliknya bagi memenuhi objektif program berkenaan iaitu mengumpul dana pembinaan Kompleks Baitul Al-Hilmi bagi pembinaan asrama dan kediaman anak yatim.

Dianjurkan bersama oleh Baitul Al-Hilmi, Ibu Pejabat Polis Daerah Tanjung Malim dan Majlis Daerah Tanjung Malim, kayuhan berkenaan dilepaskan oleh Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Intergrasi Nasional Perak, Datuk Rusnah Kasim.

Bermula seawal jam 7 pagi, permulaan kayuhan sungguh menarik apabila peserta menikmati panorama suasana kampung yang sejuk dan menyamankan sebaik memasuki jalan Kampung Sawa.

Namun, itu hanya sebagai pemanas badan sebelum cabaran sebenar mula terasa sebaik masuk ke jalan Kampung Ulu Slim menuju kawasan penempatan Orang Asli di Kampung Pisang.

Bermula di kampung itu, tempoh memanaskan badan tamat apabila peserta perlu melalui kawasan ladang yang licin dan berbatu hingga memaksa mereka menolak basikal ketika mendaki lereng.

Malah, halangan semakin mencabar apabila melalui kawasan denai dan anak sungai berbatu, menyebabkan ada peserta terpaksa memikul basikal, menjadikan jambori ini menguji kekentalan dan kesabaran ‘kaki basikal’.

Pelbagai ragam dan gelagat peserta dapat disaksikan sepanjang laluan yang menguji kekuatan mental dan fizikal peserta.

Pengasas Baitul Al-Hilmi, Datuk Ahmad Faris Abdul Halim berkata, kayuhan itu sudah dua tahun diadakan dan bersyukur bilangan peserta meningkat yang secara tidak langsung dapat mengumpul dana untuk pembinaan kompleks anak yatim.

Katanya, kesanggupan mereka bersukan sambil beramal memang dipuji, terutama ia membabitkan kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

“Kos pembinaan kompleks ini dianggarkan sekitar RM5 juta dan ia kompleks penempatan baru di tapak seluas 1.39 ekar terletak bersebelahan Rumah Anak Yatim Baitul Al-Hilmi sedia ada.

“Apabila siap kelak, penempatan baru ini akan mempunyai sebuah bangunan dua tingkat iaitu blok lelaki dan perempuan berasingan dengan kemudahan dewan makan, pondok pengawal serta kemudahan rekreasi.

“Kompleks ini mampu memuatkan kira-kira 50 kanak-kanak dan penganjuran jambori ini satu usaha untuk mencari dana bagi pembinaan yang dijangka bermula pada awal Julai depan dan dijangka siap penghujung Julai 2016,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Ahmad Mat Isa yang turut hadir berkata, jambori ini diharapkan dapat membuka mata masyarakat setempat bahawa tugas anggota PDRM bukan sekadar menjaga keamanan dan keselamatan negara, malah mampu menyertai aktiviti kemasyara­katan, termasuk dalam progam amal.

“Penyertaan anggota PDRM dapat mendekatkan polis dengan masyarakat setempat dan ini akan memberi kesan dalam aspek hubungan bagi jangka masa panjang.

“Walaupun ini kayuhan amal, kita dapati peserta bersemangat berlumba dan membuktikan program amal seperti ini menjadikan mereka mampu berseronok selain menguji mental serta fizikal,” katanya.

Peserta dari Trolak Cycling Team, Ahmad Nizam Saidin berkata, walaupun kayuhan itu bukan pertandingan, ia medan terbaik kepada peserta untuk menguji tahap kecergasan, berkenal-kenalan dan paling utama dapat beramal.

“Jambori ini saya anggap sebagai pemanas badan terbaik kerana trek­nya penuh dengan halangan yang mencabar mental dan fizikal sesiapa saja.

“Sepanjang jambori ini, kita boleh mengenal pasti kelemahan dan kekuatan diri, seterusnya memperbaiki kelemahan yang ada untuk perlumbaan sebenar,” katanya.

Sementara itu, ketua pasukan Behrang 2020 Bikers, Murad Ibrahim berkata, berkayuh sambil beramal memang digalakkan kerana selain menyihatkan badan, perserta mampu membuat amal kebajikan, terutama kepada pihak memerlukan seperti anak yatim.

“Kami memang teruja sejak awal menyertai jambori ini dan bangga dapat menyumbang bagi pembinaan kompleks anak yatim Baitul Al-Hilmi selain berharap lebih ramai peminat sukan lasak ini tampil melakukan kerja amal seperti ini,” katanya.

Program jambori itu berakhir dengan sumbangan cenderahati kepada peserta pertama sampai ke garisan penamat selain cabutan bertuah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 12:59 PM