FOTO Arkib NSTP
FOTO Arkib NSTP
AFP

New York: Grab Holdings Inc akan disenaraikan di pasaran saham Amerika Syarikat (AS) melalui kerjasama dengan Altimeter Growth Corporation dengan nilai pasaran Grab dijangka mencecah AS$39.6 bilion (kira-kira RM163.7 bilion).

Penyenaraian berkenaan yang dijangka berlangsung dalam beberapa bulan lagi di NASDAQ, akan menjadi pelancaran terbesar dalam pasaran setakat ini, melalui syarikat pengambilalihan tujuan khas (SPAC).

Sekiranya berjaya, ia akan memberikan Grab AS$4.5 bilion (kira-kira RM18.6 bilion) dana tambahan.

Perjanjian berkenaan membabitkan Grab bergabung dengan syarikat yang sudah disenaraikan yang mana perniagaannya termasuk membantu pengapungan pasaran saham.

Model SPAC menjadi cara popular untuk menyenaraikan syarikat kerana ia lebih pantas dan kurang mahal berbanding tawaran awam permulaan (IPO).

Grab, syarikat unicorn Asia - atau syarikat swasta yang bernilai lebih dari AS$1 bilion dijangka membuka jalan bagi syarikat serupa di rantau ini yang berhasrat menjual saham kepada orang awam.

"Ini memberi kami kebanggaan besar untuk mewakili Asia Tenggara di pasaran awam global," kata kenyataan itu yang memetik pengasas dan ketua eksekutif Grab, Anthony Tan.

Katanya, perkongsian Grab dengan Altimeter harus membawa kepada penawaran ekuiti terbesar AS yang pernah dibuat oleh syarikat Asia Tenggara.

"Syarikat gabungan itu akan memperdagangkan saham di NASDAQ di bawah simbol 'GRAB' dalam beberapa bulan akan datang.

"Cadangan urus niaga ini menyaksikan nilai awal ekuiti proforma Grab kira-kira AS$39.6 bilion," katanya.

Grab dilancarkan pada 2012 dan dalam tempoh beberapa tahun, ia menjadi pengendali e-hailing terbesar di Asia Tenggara beroperasi di lapan negara di rantau ini serta Jepun.

Ia kini menjadi jenama sinonim dengan pengguna di pasaran yang berkembang pesat berjumlah 650 juta orang, di mana ia menyediakan bukan sahaja pengangkutan tetapi juga penghantaran makanan dan perkhidmatan kewangan.

Grab dimulakan ketika Anthony Tan, yang berasal dari keluarga yang menjalankan perniagaan penjualan kereta yang berjaya di Malaysia, mendapat idea mengenai aplikasi tempahan teksi.

Tan mengubah ideanya menjadi projek ketika belajar di Harvard Business School dan pada 2011, ia memenangi satu pertandingan dan menerima AS$25,000.

Dia kemudian berhenti dari perniagaan keluarga dan melancarkan aplikasi, GrabTaxi, di Malaysia bersama rakan sekelas di Harvard.

Ia dengan pantas meraih populariti di seluruh Asia Tenggara dan berkembang dari teksi ke kereta persendirian dan motosikal yang menyediakan pengangkutan alternatif di bandar yang berdepan masalah kesesakan lalu lintas.

Syarikat itu memindahkan ibu pejabatnya dari Malaysia ke Singapura pada tahun 2014.

Pada tahun 2018, Grab mengukuhkan kedudukannya sebagai firma penumpang terbesar di Asia Tenggara ketika membeli operasi Uber di rantau ini.

Uber memperoleh 27.5 peratus kepentingan dalam Grab sebagai pertukaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 7:01 AM