Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad  (dua kanan) bersama Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid (dua kiri) mengacau dodol sebagai gimik pelancaran Pasar Tani Khas Pra Syawal Negeri Perak 2017 di Pasar Tani Kuala Kangsar. FOTO IHSAN FAMA
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad (dua kanan) bersama Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid (dua kiri) mengacau dodol sebagai gimik pelancaran Pasar Tani Khas Pra Syawal Negeri Perak 2017 di Pasar Tani Kuala Kangsar. FOTO IHSAN FAMA
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


LAPAN Pasar Tani Khas Pra Syawal disediakan sekitar Perak bermula semalam dan hari ini bagi membolehkan orang ramai mendapatkan bahan keperluan untuk sambutan Aidilfitri dengan harga berpatutan.

Kewujudan pasar tani khas itu adalah satu daripada inisiatif bagi mengawal harga barangan keperluan terpilih khususnya daging ayam dan lembu berikutan permintaan tinggi setiap kali menjelang musim perayaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, pelaksanaan program itu dapat memberi kemudahan serta penjimatan kepada pengguna mendapatkan barangan basah khususnya daging lembu dan ayam bagi menyambut lebaran.

"Pasar tani kebiasaannya menawarkan harga yang lebih murah berbanding harga siling yang ditetapkan kerajaan dengan kualiti sama memandangkan peniaga di pasar itu rata-ratanya tidak memperolehi bekalan daripada orang tengah.

"Oleh itu, pengguna yangkeluar membeli barang keperluan bagi menyediakan juadah menyambut Syawal tidak perlu bimbang kekurangan bekalan memandangkan kita menyedari ia masih berada pada paras kawalan biasa,”€ katanya selepas melancarkan Pasar Tani Khas Pra Syawal di Pasar Tani Kuala Kangsar, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid.

Menurutnya, sebanyak 90 lembu dan 15,000 ayam diperuntukkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri untuk jualan di lapan pasar tani sekitar negeri ini.

Saarani berkata, inisiatif FAMA itu berperanan memberi pilihan kepada orang ramai berbelanja selain memberi kesedaran kepada usahawan Pasar Tani untuk menyokong usaha kerajaan mengurangkan kos sara hidup pengguna.

"Selain memberi penjimatan antara lima hingga 20 peratus berbanding harga pasaran, pelaksanaan pasar tani sempena Aidilfitri ini juga dapat meningkatkan pendapatan peserta khususnya golongan petani melalui jualan terus kepada pengguna tanpa melalui orang tengah atau peraih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2017 @ 1:45 PM