PELANGGAN perlu mengamalkan penjarakkan sosial ketika membeli barangan di Pasar Segar Terkawal di Bangunan FAMA Bandar Baru Selayang. FOTO Asyraf Hamzah
PELANGGAN perlu mengamalkan penjarakkan sosial ketika membeli barangan di Pasar Segar Terkawal di Bangunan FAMA Bandar Baru Selayang. FOTO Asyraf Hamzah
Mohamed Farid Noh


LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Johor melaksanakan belian terus dari ladang, membantu mengatur jualan antara petani dan pemasar serta memperkasa aktiviti jualan secara atas talian bagi membantu petani negeri ini yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, kerajaan negeri maklum mengenai kegusaran petani negeri ini yang terkesan akibat penularan wabak berkenaan.

Katanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac sehingga 5 April lalu, sebanyak 100 tan hasil tanaman seperti nanas MD2 , nanas Josapine, sengkuang, timun, cili merah dan sayuran berdaun di seluruh Johor yang membabitkan nilai jualan sebanyak RM200,500 sudah dibeli dan dipasarkan.

“Semua produk pertanian ini dijual di Pasar Tani Segar Terkawal yang dilaksanakan di semua Pasar Tani Kekal di negeri ini selain turut dipasarkan ke luar negeri Johor dan juga menerusi jualan dalam talian di www.agrobazaaronline.com.my

“Di negeri Johor, FAMA membuka lima Pasar Tani Kekal untuk beroperasi iaitu Pasar Tani Kekal Datin Halimah yang dibuka setiap hari kecuali Selasa dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang,” katanya.

Katanya, Pasar Tani Kekal Permas Jaya (dibuka setiap hari kecuali Isnin mulai jam 7 pagi hingga 3 petang, Pasar Tani Kekal Bukit Gambir dibuka setiap hari dari jam 7 pagi hingga 3, Pasar Tani Kekal Endau dibuka setiap hari dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari dan Pasar Komuniti & Karavan (PAKAR) Mersing dibuka pada hari Jumaat dan Sabtu dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

“Bagi memudahkan pembelian oleh pengguna, FAMA Johor juga menyediakan kemudahan pembelian secara dalam talian dan tempahan awal dengan pengguna boleh mengunjungi laman web atau dengan memuat turun aplikasi AgrobazaarOnline untuk membuat pembelian.

“Platform secara dalam talian antara kaedah yang digunakan untuk memudahkan pengguna mendapatkan bekalan dengan kualiti yang terjamin tanpa perlu risau mengenai situasi semasa, terutamanya dalam tempoh PKP,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata platform dalam talian juga akan menggalakkan lebih ramai petani dan usahawan untuk memasarkan hasil pertanian, seterusnya dapat menjimatkan kos operasi, dapat berdikari, selain memiliki pasaran yang lebih luas.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri mendapati bahawa purata peratusan terhadap pematuhan PKP di Johor semalam menurun kepada 97.01 peratus berbanding 97.19 peratus semalam.

“Justeru, saya berharap semua rakyat Johor untuk terus mematuhi PKP demi kebaikan dan keselamatan kita bersama.

“Sehingga semalam, Polis Johor sudah menahan 901 individu yang ingkar terhadap PKP dengan seramai 261 individu sudah didakwa di Mahkamah Johor Bahru atas kesalahan ingkar arahan PKP,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 2:59 PM