BADRUDDIN (dua dari kiri) menyampaikan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Pengarah Kanan Bahagian Khidmat Pengurusan FAMA, Dr Mat Sani Hassan.
BADRUDDIN (dua dari kiri) menyampaikan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Pengarah Kanan Bahagian Khidmat Pengurusan FAMA, Dr Mat Sani Hassan.
Nursyahirah Marzuki

Putrajaya: MyFarm Outlet iaitu pasar belian terus hasil pertanian yang dilancarkan pada Mac lalu di Presint 7, di sini, mencatatkan nilai jualan RM4.2 juta hanya dalam tempoh tiga bulan.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, jumlah itu menunjukkan sokongan dan penerimaan orang ramai terhadap penubuhan MyFarm Outlet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan pengubahsuaian Bajet 2016, Januari lalu.

“Sebanyak 10 cawangan MyFarm Outlet akan dibuka di seluruh negara sebelum akhir tahun ini bagi membantu masyarakat terutama golongan miskin untuk mendapatkan barangan keperluan harian.

“Kita menyasarkan dua cawangan akan dibuka pada bulan ini iaitu di Manjong, Perak dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kota Bharu, Kelantan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Khidmat Amat Setia dan Jasamu Dikenang 2015 di sini, semalam.

Seramai 229 kakitangan FAMA menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada mereka dalam menjalankan tanggungjawab sepanjang bertugas.

Badruddin berkata, barangan keperluan berkualiti dengan harga berpatutan adalah elemen yang menjadi tumpuan kepada orang ramai untuk berbelanja barang keperluan harian mereka di MyFarm Outlet.

“Kita sentiasa menjaga kualiti barangan yang dipasarkan dan barangan yang dijual lima hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran semasa ditetapkan.

“Penubuhan MyFarm Outlet juga membantu meringankan beban orang ramai berikutan kos sara hidup yang tinggi selain membantu petani menjana pendapatan seharian mereka,” katanya.

Menurutnya, penubuhan MyFarm Outlet juga akan diperluaskan ke kawasan golongan miskin bandar untuk memberi peluang kepada mereka membeli barang keperluan pada harga berpatutan.

“Selain itu, kita juga akan melaksanakan Pasar Tani Pra Ramadan dan Pasar Tani Sepanjang Ramadan untuk memberi kemudahan kepada pengguna terutama yang beragama Islam mendapatkan barangan keperluan.

“Kita juga akan menganjurkan program Jualan Khas Pra Ramadan selaras dengan hasrat kerajaan untuk menangani kenaikan harga barangan di pasaran terutama menjelang musim perayaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 7:17 AM