KHAIRUL Azila bersama suami dan dua anak lelaki mereka di hadapan Kedutaan Malaysia di Moscow.
KHAIRUL Azila bersama suami dan dua anak lelaki mereka di hadapan Kedutaan Malaysia di Moscow.
BERBUKA puasa bersama pelajar Malaysia di Moscow.
BERBUKA puasa bersama pelajar Malaysia di Moscow.
KHAIRUL Azila lebih gemar menyediakan masakan kampung berbanding makanan negara itu.
KHAIRUL Azila lebih gemar menyediakan masakan kampung berbanding makanan negara itu.
myMetro

Jika berada di Malaysia, berpuasa bukanlah sesuatu yang sukar kerana suasana dan keadaannya cukup mesra umat Islam.

Makanan, minuman dan tempat beribadat mudah didapati, malah turut disinggahi mereka yang bukan Islam.

Namun, ramai yang tidak mengetahui suasana Ramadan di luar negara. Justeru, Nuansa memberi ruang kepada rakan pembaca untuk berkongsi kisah mereka menyambut Ramadan di perantauan.

Minggu ini, ikuti pengalaman Khairul Azila Kamaruzzaman bersama keluarganya berpuasa di Moscow, Russia.

“Alhamdulillah, saya syukur dengan segala nikmat-Nya kerana ini tahun keempat saya sekeluarga berpuasa di perantauan.

Sudah hampir empat tahun saya di sini kerana mengikut suami yang diamanahkan bertugas di Kedutaan Malaysia di Moscow.

Berada di sini umpama hilang separuh nikmat Ramadan. Hilang nikmat bertarawih di surau dan masjid, hilang nikmat mendengar laungan azan ketika berbuka dan alunan suara mengaji dari surau berdekatan rumah ketika mengejutkan kita bersahur, hilang nikmat berbuka dan bersahur bersama ibu bapa dan ahli keluarga selain tiada lagi suasana bazar Ramadan.

Tapi saya percaya ada kebaikan lain di sebaliknya dan ia membuatkan saya lebih menghargai apa yang pernah saya ada dulu dengan menjalani kehidupan hari ini secara sederhana.

Menikmati pengalaman berharga di sini berlainan berbanding orang lain kerana dugaan dan nikmat itu diterima berbeza-beza. Sebagai orang Islam, jika hidup berpandukan Allah, cabaran akan buatkan kita lebih memanfaatkan setiap nikmat yang diberikan-Nya sebaik mungkin.

Waktu di sini lewat lima jam daripada Malaysia. Justeru, Allah beri peluang dan pengalaman luar biasa untuk kami menikmati puasa selama 20 jam setiap hari pada Ramadan tahun ini. Bermula dengan sahur pada jam 1 pagi dan moreh pada 9.20 malam.

Perbezaan masa ini kerana Moscow sedang mengalami musim panas dengan waktu siang lebih panjang berbanding malam.

Lapar, dahaga dan penat? Itu antara soalan yang sering saya terima daripada kenalan dan ahli keluarga. Ia memang agak sukar kerana waktu berpuasa 20 jam sangat lama, tetapi saya terima ia sebagai cabaran kerana kita orang Islam perlu meneruskan puasa selagi sihat dalam semua aspek.

Justeru, persoalan lama atau tidak bukanlah alasan untuk saya tidak berpuasa. Perkara paling penting ialah mental dan fizikal perlu bersedia menghadapi dugaan ini.

Saya yakin Ramadan tahun ini mampu dilalui dengan baik meskipun dalam tempoh lama. Saya juga jarang menggunakan tenaga berlebihan kerana hanya tertumpu melakukan amal ibadat di dalam rumah tanpa aktiviti luar.

Cabaran 20 jam berpuasa bukan saja untuk orang dewasa, malah anak saya yang berumur sembilan dan enam tahun turut sama berpuasa.

Namun, saya tidak menggalakkan anak berpuasa sehingga 20 jam kerana mereka tidak mampu bertahan selama itu. Justeru, sejak umur tujuh tahun, saya ajar anak berpuasa mengikut waktu Makkah dan itu antara teknik untuk mereka belajar berpuasa.

Masa yang suntuk memang sangat mencabar kerana jarak waktu antara berbuka dengan bersahur hanya empat jam. Maka, saya sekeluarga bersahur dan berbuka dengan memakan ala kadar agar mampu melakukan ibadat wajib dengan selesa. Sunat menjamah kurma ketika bersahur, malah jika diikutkan, sahur dan berbuka boleh dilakukan sekali gus.

Untuk juadah berbuka, biasanya saya masak hidangan serba ringkas disebabkan waktu agak lewat.

Saya agak jarang merasai makanan tempatan kerana sudah tentu bukan citarasa kita sebagai orang Asia. Moscow popular dengan roti dan kentang kukus yang dimakan bersama sup ayam atau sup daging.

Terdapat banyak restoran halal di sini, tetapi kebanyakannya menyediakan menu yang sama. Jadi saya lebih suka masak makanan sendiri di rumah. Keluarga pun puas makan, lebih-lebih lagi kerana saya memasak masakan Malaysia untuk berbuka setiap hari.

Harga barang mentah agak mahal, tetapi tidaklah semua kerana ia mengikut tempat dan jenis barang. Harga ayam mentah memang murah berbanding barang lain dan ia tidaklah terlalu membebankan untuk memperoleh makanan.

Sepanjang Ramadan, saya akan tetapkan hari minggu untuk mengadakan majlis berbuka puasa di rumah. Selalunya bersama pelajar kita di Moscow supaya dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan merasai masakan kampung.

Pelajar Malaysia di sini dianggarkan antara 200 hingga 300 orang. Namun, yang rapat dengan keluarga saya lebih kurang 20 pelajar yang semuanya mengambil jurusan kedoktoran.

Namun, agak sukar untuk berkumpul bersama keluarga warga kerja yang lain kerana waktunya kurang sesuai, malah masing-masing punya anak dan sering mengejar masa untuk menyempurnakan solat Tarawih dan sebagainya.

Memang jauh bezanya nikmat berpuasa di tanah air dengan di perantauan tetapi menerusi aktiviti sedemikian, saya sekeluarga dapat merasa kemeriahannya juga terutama mengerjakan solat berjemaah dan Tarawih beramai-ramai.

Akhir kata, kami ingin mengucapkan selamat berpuasa untuk emak, Che Amah Ismail dan bapa, Kamaruzzaman Abdullah di Sungai Petani, Kedah. Abang Kamarul Azizi di Perak, kakak Khairul Azura dan adik-adik Khairul Azlin serta Norzulaikha di Kedah. Keluarga mentua Marsyitah Abdul Manaf di Kuala Lipis, Pahang, kak Marlina di Temerloh, kak Sakinah di Kuala Lumpur, adik Norsila dan Norhidayah di Kuala Lipis serta Muhammad Holiq di Kuala Lumpur.

Salam Ramadan daripada saya, suami Muhammad Faizol Muhammad Nasir serta anak Muhammad Fiqrie dan Muhammad Fahiem.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 12:42 PM