Norul Awatif Romli


Alor Setar: Penganggur dihukum penjara tujuh tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar selepas mengaku bersalah cuba merogol adik kandungnya, dua tahun lalu.

Tertuduh, 23, membuat pengakuan terbabit di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Najwa Che Mat selepas kertas pendakwaan dibacakan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa cuba merogol adik kandung berusia 8 tahun di kawasan rehat tepi Sungai Raja di sini pada 8.15 pagi, 14 Mac 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azrul Abdul Rahman manakala tertuduh berbaju kemeja T hijau lusuh tidak diwakili peguam.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dilihat oleh pengawal keselamatan ketika sedang meniarap di atas badan seorang kanak-kanak perempuan dalam keadaan berbogel beralaskan baju mangsa di lokasi kejadian dan waktu yang sama.

Pengawal keselamatan terbabit yang menghampiri tertuduh menghubungi polis selepas mangsa memaklumkan dirinya cuba dirogol.

Najwa kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan empat sebatan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berlainan tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan merogol mangsa yang sama luar rumah di Seberang Perak, di sini pada 12 tengah malam, 18 Jun lalu.

Pengakuan terbabit dibuat di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ana Rozana Mohd Nor.

Zulhazmi tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana tinggal serumah dengan mangsa dan menetapkan 26 Julai untuk tarikh jatuh hukuman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 6:44 PM