Jakarta: Keluarga di Indonesia dinasihati berunding dengan doktor dan mempertimbangkan mengambil semula vaksin untuk anak mereka selepas terbongkarnya skandal vaksin tiruan baru-baru ini.

Polis pada minggu lalu membongkar satu sindiket yang menjual vaksin palsu kepada klinik kesihatan di seluruh Indonesia sejak 10 tahun lalu.

Enam belas suspek termasuk sepasang suami isteri yang dipercayai dalang utama membuat vaksin palsu berkenaan berjaya ditangkap.

Kesemua mereka dituduh mengedar vaksin suntikan penggalak untuk beberapa jenis penyakit termasuk tuberkulosis, hepatitis B dan tetanus.

Kementerian Kesihatan Indonesia kini bekerjasama dengan polis untuk menen tukan skala masalah berkenaan.

Agensi dadah dan makanan kebangsaan sudah merampas vaksin dari 30 klinik kesihatan tetapi masih belum diketahui sejauh mana vaksin itu beredar.

“Kami bekerjasama dengan agensi dadah dan makanan kebangsaan untuk mengumpul data dan mengambil semua langkah yang perlu.

“Sekiranya vaksin perlu diberikan semula, kami akan lakukannya,” kata jurucakap kementerian kesihatan.

Persatuan doktor kanak-kanak Indonesia juga menasihati ibu bapa bertanya kepada hospital dan klinik mengenai vaksin mereka.

“Sekiranya masih tidak pasti anda boleh mengambil semula vaksin ini dan ia tidak memberi kesan kepada kesihatan kanak-kanak,” kata pengerusi persatuan itu, Aman Bhakti Pulungan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 9:48 AM