Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menukar Jadual Program Imunisasi Kebangsaan bagi kanak-kanak di Klinik Kesihatan di seluruh negara secara berperingkat bermula awal November.

Penukaran penjadualan itu bergantung kepada ketersediaan bekalan vaksin ini di fasiliti kesihatan KKM.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya sebelum ini memberikan vaksin lima serangkai kepada kanak-kanak dan kini ia ditukar kepada enam serangkai.

"Vaksin jenis enam serangkai ini lebih selamat dan berkesan berbanding sebelum ini serta lebih menjimatkan masa kerana jumlah suntikannya juga dikurangkan daripada tujuh suntikan ke lima sahaja.

"Vaksin berkenaan meliputi difteria – tetanus – pertussis – polio – Hepatitis B – Haemophilus influenzae type b (hexavalent DTaP-IPV-HepB-Hib)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, seperti vaksin lain yang berdaftar di Malaysia, kesan advers susulan imunisasi (adverse events following immunization, AEFI) vaksin berkenaan dipantau oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM.

"Sejak ia digunakan oleh fasiliti kesihatan swasta di Malaysia, tiada sebarang isu keselamatan serius yang dilaporkan.

"Vaksin ini digunakan di fasiliti kesihatan swasta di Malaysia sejak 2013 dan terbukti selamat, namun ia adalah vaksin yang baharu digunakan bawah Program Imunisasi Kebangsaan di fasiliti kesihatan KKM," katanya.

Berikutan itu, Dr Noor Hisham berkata KKM akan menjalankan pemantauan AEFI bagi setiap kanak-kanak selepas setiap dos suntikan.

"Untuk tujuan berkenaan, ibu bapa perlu melaporkan sebarang kesan advers yang dialami oleh anak mereka kepada anggota kesihatan selepas setiap suntikan dengan mengembalikan borang pelaporan.

"Kesan yang dialami selepas mengambil suntikan itu adalah ringan seperti merah di tempat suntikan," katanya.

Ibu bapa boleh melaporkan kesan advers secara terus kepada NPRA melalui laman sesawang npra.gov.my dengan mengisi Consumer Side Effect Reporting Form (CONSERF)," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dengan memastikan anak-anak mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan.

"Sekiranya anak-anak tercicir sebarang imunisasi, sila bawa anak ke klinik kesihatan atau klinik swasta yang berdekatan untuk penjadualan semula imunisasi.

"Berdasarkan jadual baharu ini, walaupun tiada suntikan imunisasi diberikan kepada kanak-kanak pada usia satu bulan dan enam bulan seperti sebelum ini, ibu bapa perlu juga mematuhi jadual kedatangan ke fasiliti kesihatan untuk kanak-kanak berusia satu bulan dan enam bulan untuk pemantauan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak seperti yang ditetapkan dalam Buku Rekod Kesihatan Bayi dan Kanak-Kanak (0 – 6 tahun)," katanya.

Sementara itu, mengenai vaksin lima serangkai, Dr Noor Hisham berkata ia adalah kombinasi difteria – tetanus – pertussis – polio – Haemophilus influenzae type b (pentavalent DTaP-IPV//Hib) dan ia digunakan di seluruh negara sejak 2010.

"Vaksin berkenaan diberikan bagi mencegah penyakit difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol), poliomyelitis dan jangkitan Haemophilus influenzae type b.

"Ia diberi sebanyak tiga dos primer pada usia dua bulan, tiga bulan dan lima bulan serta satu dos penggalak (booster) pada umur 18 bulan.

"Vaksin Hepatitis B monovalent pula diberikan untuk mencegah penyakit berkenaan sejak tahun 1989 dan ia diberikan sebanyak tiga dos semasa lahir, pada umur sebulan dan enam bulan," katanya.

Sebarang kemusykilan mengenai pertukaran vaksin lima serangkai kepada vaksin enam serangkai ini, boleh dibuat dengan menghubungi KKM di talian 03- 8883 4042/03-8883 4504 pada Isnin hingga Jumaat, jam 9 pagi hingga 5 petang, atau dapatkan penjelasan lanjut di Klinik Kesihatan yang berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 11:39 AM