FOTO Arkib NSTP/Hazreen Mohamad
FOTO Arkib NSTP/Hazreen Mohamad
Fazurawati Che Lah


Petaling Jaya: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menawarkan rebat tol sebanyak 30 peratus kepada pengguna lebuh raya itu yang membayar tol menggunakan sistem elektronik pada hari tertentu bermula 4 Julai ini sempena Aidilfitri.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Abd Hamid berkata, rebat tol itu ditawarkan kepada pengguna kenderaan Kelas 1 (kenderaan ringan dengan dua gandar dan tiga atau empat roda kecuali teksi) secara elektronik sama ada menggunakan kad PLUSMiles, Touch ‘n Go atau SmartTag pada 4, 8 dan 11 Julai ini.

“Rebat ini diberikan kepada pengguna PLUS yang melalui jarak perjalanan melebihi 100 kilometer di Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) sepanjang tiga hari tersebut.

“Rebat tol tersebut boleh dituntut di semua Pusat Khidmat Pelanggan di lebuh raya PLUS bermula 15 Ogos hingga 14 November,” katanya dalam sidang akhbar sebentar tadi.

Tambah beliau, PLUS telah mengatur pelbagai strategi bagi pertambahan trafik pada cuti perayaan Aidilfitri ini seperti mengeluarkan jadual cadangan waktu perjalanan (TTA), meningkatkan bilangan anggota rondaan, pasukan kecemasan dan kakitangan plaza tol selain menambah tempat parkir serta tandas bergerak sementara.

“Kami menasihatkan para pengguna mengikuti jadual TTA tersebut ketika pulang ke kampung dan kembali ke ibu kota bagi mengurangkan kesesakan dan memastikan perjalanan lancar ke destinasi masing-masing.

“Kami menjangkakan sebanyak 1.6 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya PLUS sempena cuti perayaan ini dan ia adalah peningkatan 20 peratus berbanding 1.3 juta pada hari biasa,” katanya.

Menurut Noorizah, selain pengeluaran jadual TTA, PLUS juga menyarankan pengguna lebuh raya mendapatkan maklumat terkini menerusi perkhidmatan Twitter PLUSTrafik, aplikasi PLUS Mobile, talian PLUSLine 1-800-88-0000, papan tanda elektronik dan siaran radio utama negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 4:35 PM