Petaling Jaya: PLUS menawarkan rebat tol sehingga 50 peratus kepada orang ramai yang membayar tol secara elektronik di Lebuhraya PLUS pada musim perayaan Aidilfitri yang akan datang.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Noorizah Hj Abd Hamid berkata, rebat tol itu ditawarkan kepada pengguna kenderaan Kelas 1 yang membayar tol secara elektronik pada hari bukan puncak iaitu 13, 14, 15, 21, 22 dan 23 Julai bersempena Aidilfitri.

“Ia boleh dinikmati oleh pengguna yang menggunakan lebuh raya untuk perjalanan jarak jauh iaitu melebihi 100 kilometer pada hari berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Noorizah, rebat tol sebanyak 50 peratus diberikan kepada orang ramai yang membayar tol secara elektronik menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG pada 13 dan 23 Julai.

Katanya, rebat tol sebanyak 40 peratus pula diberikan untuk pembayaran tol secara elektronik pada 14 dan 22 Julai.

“Rebat tol 30 peratus diberikan kepada orang ramai yang membayar tol secara elektronik pada 15 dan 21 Julai akan datang.

“Pemberian rebat tol ini adalah salah satu daripada strategi PLUS untuk mengagihkan trafik serta menggalakkan orang ramai bergerak pulang ke kampung sebelum Aidilfitri dan kembali ke bandar selepas berhari raya pada hari bukan puncak. Ia juga penghargaan kami kepada orang ramai yang terus menyokong perkhidmatan rangkaian lebuh raya kami,” katanya.

Katanya, PLUS akan turut mengambil pelbagai langkah lain untuk membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selesa pada musim perayaan yang akan datang, termasuklah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dan lain-lain lagi.

“Butiran lanjut berhubung strategi syarikat untuk menghadapi pertambahan trafik akan dihebahkan kepada media pada satu taklimat dan sidang media khas,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 3:08 PM