KOKE (kanan) hanya diturunkan sebagai pemain gantian.
KOKE (kanan) hanya diturunkan sebagai pemain gantian.

Saint-Martin-De-Re, Perancis: Pemain muda yang dianggap bintang masa depan bola sepak Sepanyol tidak mendapat banyak peluang bagi menampilkan potensi mereka pada Kejohanan Eropah.

Jurulatih Vicente Del Bosque merombak skuad Sepanyol selepas kegagalan menjuarai Piala Dunia 2014 namun memilih untuk kekal dengan pemain berpengalaman bagi Euro 2016.

Kebanyakan pemain muda yang dibawa ke Perancis tidak menggalas tugas besar buat juara bertahan dua kali itu dan mungkin tidak diturunkan apabila berdepan Itali di Stade de France esok.

“Kami semua mahu bermain tapi kata putus terletak di tangan jurulatih,” kata pemain tengah Jorge Koke Resurreccion, 24, semalam.

“Kami semua mempunyai kualiti. Kami sudah bersedia memberikan segala-galanya jika diberi peluang.”

Penjaga gol David De Gea dan penyerang Alvaro Morata mewakili ‘generasi baru’ yang diturunkan sebagai kesebelasan utama.

Daripada enam pemain berusia 25 tahun atau lebih muda, hanya Koke dan Thiago Alcantara berpeluang bermain beberapa minit selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.

“Memang menyakitkan apabila saya tidak dapat menggunakan pemain seperti Koke, Thiago dan Bartra lebih kerap,” kata Del Bosque, lebih menggemari pemain veteran yang menjulang kejayaan Sepanyol dan pemain lebih berusia yang masih baru dengan Sepanyol tetapi bukan sebahagian daripada generasi baru negara itu termasuk Juanfran Torres, 31, dan Manuel ‘Nolito’ Agudo, 29.

Jurulatih itu membawa masuk 14 pemain dengan kurang daripada 25 penampilan antarabangsa tetapi hanya lima pemain bawah 25. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2016 @ 5:07 AM