LATIHAN persiapan pasukan Sepanyol menjelang Euro 2016.
LATIHAN persiapan pasukan Sepanyol menjelang Euro 2016.
DEL BOSQUE
DEL BOSQUE
AFP

Paris: Sepanyol dalam misi memburu Kejuaraan Eropah buat kali ketiga berturut-turut, namun undian menyaksikan skuad kendalian Vicente del Bosque itu yang kini dalam proses transisi berdepan cabaran sukar.

Juara 2008 dan 2012 itu yang mahu mengelak daripada prestasi buruk di Piala Dunia Brazil dua tahun lalu perlu bertemu Croatia, Turki dan Republik Czech dalam Kumpulan D.

“Kami pergi ke sana dengan sasaran tinggi iaitu mahu mempertahankan gelaran empat tahun lalu,” kata Del Bosque kepada akhbar harian sukan Marca sebelum skuad La Roja berkumpul bagi sesi latihan pusat di IIe de Re.

“Situasi sama seperti 2012, tapi kami ini lebih sukar kerana kami penyandang kejuaraan dua kali berturut-turut.

“Tapi, kami mesti dapat membezakan apa itu objektif dan kewajipan. Memenangi gelaran tidak boleh menjadi kewajipan.”

Del Bosque, 65, berkata demikian kerana pasukannya melalui perubahan drastik sejak 2012.

Mungkin enam daripada mereka yang beraksi ketika menang 4-0 ke atas Itali di Kiev akan berada dalam kesebelasan utama menentang Republik Czech di Toulouse Isnin ini, tapi ia pengalaman pertama buat pemain seperti Koke, Alvaro Morata dan Lucas Vazquez.

“Kami perlu menggunakan sebaik mungkin pemain yang kami ada,” kata Del Bosque sebagai memberi bayangan bahawa mereka mungkin terpaksa melupakan gaya permainan ‘tiki-taka’ yang dipersembahkan pada kejohanan lalu.

“Lucas Vazquez mempunyai kelajuan dan boleh menyusahkan benteng pertahanan manakala anda juga tidak boleh mempertikaikan kemampuan Aritz Aduriz. Jika dengan tiga sentuhan kami boleh berada di kawasan gol pasukan lawan, itu sudah pasti bagus.”

Menamatkan saingan di tangga teratas perlu menjadi sasaran mereka kerana Belgium atau Itali berpotensi untuk menjadi lawan mereka di pusingan kedua selaku naib juara Kumpulan D.

Jika mana-mana pasukan menduduki tangga ketiga kumpulan, Perancis dijangka menanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 9:26 AM