MANGSA bot karam yang diselamatkan. FOTO ihsan APMM
MANGSA bot karam yang diselamatkan. FOTO ihsan APMM
BOT pelancong yang karam dikesan lebih kurang tiga batu nautika dari beting Rampayan. FOTO ihsan APMM
BOT pelancong yang karam dikesan lebih kurang tiga batu nautika dari beting Rampayan. FOTO ihsan APMM
MANGSA bot karam yang diselamatkan. FOTO ihsan APMM
MANGSA bot karam yang diselamatkan. FOTO ihsan APMM
Erdiehazzuan Ab Wahid

Kota Kinabalu : Semua 22 mangsa bot pelancong yang hanyut sebelum karam di perairan Kota Belud sejak petang semalam ditemui selamat.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Mohd Zubil Mat Som berkata, mangsa yang ditemui terapung di Tanjung Dudar itu diselamatkan bot Pasukan Polis Marin (PPM), 8.30 pagi tadi.

"Pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerima panggilan kecemasan daripada MERS 999 menyatakan terdapat bot karam dan dimasuki air pada 4.10 petang.

"Hasil daripada itu, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan 7.15 malam tadi dan pihak penyelamat ada menerima panggilan daripada juragan bot pada 9.50 malam menyatakan semua mangsa tersangkut di beting Rampayan Kota Belud," katanya dalam sidang media di pejabatnya, pagi tadi.

Mohd Zubil berkata, selepas menerima panggilan, pihaknya segera mengerahkan bot penyelamat untuk mencari mangsa namun terputus hubungan kira-kira 11 malam.

"Namun pada 7 pagi tadi, bot penyelamat mengesan sebuah bot dipercayai bot pelancong yang karam lebih kurang tiga batu nautika dari beting Rampayan.

"Pada mulanya kru memaklumkan ada 24 orang dalam bot, namun apabila pihak PPM menemui mereka pagi tadi, hanya ada 22 mangsa," katanya.

Katanya, semua mangsa dibawa ke Hospital Kota Belud untuk pemeriksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2016 @ 11:17 AM