Saiful Affendy Sapran dan Ferzalfie Fauzi

Kuching: Kehadiran penyandang juara yang memegang status juara remaja dunia, Goh Jin Wei langsung tidak menggentarkan perseorangan wanita Wilayah Persekutuan Ho Yen Mei (gambar) menjelang aksi pembukaan acara badminton hari ini.

Yen Mei yang juga perseorangan ketiga terbaik negara selepas Tee Jing Yi dan Jin Wei berhasrat menghadiahkan kontinjen Wilayah Persekutuan dengan sebutir pingat emas walaupun sedar perjuangannya bukan mudah.

“Ini penampilan kedua saya di SUKMA selepas kecewa dengan hanya mara ke suku akhir di Perlis, dua tahun lalu. Kali ini saya bertekad mempersembahkan aksi paling cemerlang,” katanya semalam.

Jelasnya, definisi cemerlang baginya adalah dengan meraih emas, walaupun sukar tetapi apa saja boleh berlaku di Sarawak.

“Pemain remaja yang lebih muda dari saya memang menunjukkan peningkatan. Malah tahun lalu mereka mara ke perlawanan akhir Kejohanan Remaja Dunia (Jin Wei dan Lee Ying Ying).

“Mereka juga sudah beraksi di beberapa kejohanan besar namun saya tetap berharap mampu meraih emas kali ini. Setakat ini persiapan kami, baik individu mahupun berpasukan, semuanya berjalan lancar,” kata pemain berusia 20 tahun itu.

Ujarnya, walaupun tidak mendapat keputusan memberangsangkan di beberapa kejohanan tahun ini, dia berasa lega selepas diberi peluang mengambil bahagian di kejohanan besar seperti Piala Uber.

“Saya harap pengalaman dapat membantu untuk saya menyertai Jin Wei dan Ying Ying pada saingan separuh akhir nanti,” kata atlet kelahiran Kuala Lumpur itu.

Badminton akan bermula hari ini, membabitkan acara berpasukan lelaki dan wanita peringkat kumpulan di Stadium Tertutup Sibu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 8:15 AM