PEPE anggap Ronaldo terlalu istimewa buat Portugal. FOTO/AFP
PEPE anggap Ronaldo terlalu istimewa buat Portugal. FOTO/AFP
AFP

MOSCOW, Russia: Pertahanan Portugal, Pepe berkata adalah keistimewaan buat negara itu memiliki pemain seperti Cristiano Ronaldo selepas bintang Real Madrid itu mempamerkan aksi menakjubkan ketika menentang Sepanyol pada saingan Piala Dunia.

Ronaldo meledak hatrik termasuk gol menerusi sepakan percumanya pada minit ke-88 dengan juara Eropah itu berjaya mengutip satu mata apabila mengikat Sepanyol 3-3 dalam aksi sulung Kumpulan B.

Pemain berusia 33 tahun itu menggandakan gol dijaringkannya pada Piala Dunia di Sochi dan Portugal berpeluang cerah untuk melangkah ke pusingan kalah mati sekiranya menang ke atas Maghribi malam ini.

“Apa yang paling penting untuk pasukan kami adalah Ronaldo bermain dengan baik. Dia sangat gembira dapat berada di sini bersama kami dan setiap perlawanan adalah kelebihan buat kami memiliki pemain seperti dirinya,” kata Pepe.

Hatrik Ronaldo adalah yang ke-51 dalam kerjayanya, kebanyakkan dijaringkan ketika beraksi bersama Pepe yang juga bekas pertahanan Real.

“Bagi saya, tiada apa yang baru mengenai Ronaldo. Dia mengharungi perlawanan yang menakjubkan dan adalah penting yang dia sangat merendah diri di atas padang dan bekerja bagi membantu pasukan.

“Kami gembira bersamanya dan juga prestasinya. Begitu juga prestasi pemain lain dalam pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 4:06 AM