GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Serdang: Ditumbuk di muka beberapa kali sebelum dipaksa menunjukkan tempat simpanan wang.

Itu nasib malang seorang lelaki yang menjadi mangsa samun lapan lelaki di kediamannya di Taman Bukit Kinrara, di sini, awal pagi tadi.

Suspek melarikan wang tunai RM5,000 dan dua beg berisi barangan kemas seberat 3.9 kilogram.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, dalam kejadian jam 4.10 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun ketika berada di perkarangan luar rumahnya didatangi lapan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang.

Menurutnya, seorang suspek menumbuk muka mangsa beberapa kali dan memaksa dia beritahu di mana tempat wang disimpan.

"Selepas itu, mangsa dibawa masuk ke dalam rumah oleh suspek. Suspek kemudiannya mengarahkan ibu mangsa menanggalkan barang kemas yang dipakai.

"Suspek turut menyelongkar setiap bilik sebelum melarikan diri bersama barangan samun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi polis bagi menjalankan siasatan.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 3:26 PM