DI Maria (kanan) ledak gol pembukaan Argentina.
DI Maria (kanan) ledak gol pembukaan Argentina.
Reuters

Santa Clara, Amerika Syarikat: Argentina melupakan ketiadaan Lionel Messi untuk menundukkan Chile 2-1 pada Copa America Centenario semalam, ketika Angel Di Maria yang bersedih menyumbat gol pembukaan dan mendedikasikan gol itu kepada neneknya, yang meninggal dunia sebelum perlawanan.

Ketika Messi menonton aksi dari tepi padang kerana kecederaan belakang, Di Maria meletakkan juara 14 kali itu di depan pada awal babak kedua sebelum Ever Banega mengukuhkan kedudukan tidak lama kemudian. Jose Pedro Fuenzalida menjaringkan gol saguhati Chile pada masa kecederaan.

Argentina sering mencetus ancaman dengan serangan pantas dan Di Maria menggunakan satu daripada kesempatan itu selepas 50 minit, meluru menyambut hantaran Banega sebelum meledak gol dari jarak tujuh meter.

“Kami bertindak baik sejak sejak beberapa tahun lalu dan mungkin tahun ini ia milik kami,” kata Di Maria, yang menangis tersedu-sedu selepas mendedikasikan gol kepada neneknya.

Argentina menambah gol kedua lapan minit kemudian dengan corak sama, kali ini Di Maria mengumpan kepada Banega di posisi sama di sebelah kiri dan sepakan leretnya yang terbias mengatasi penjaga gol Chile Claudio Bravo.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 9:04 AM