MESSI (kiri) menjalani sesi latihan bersama pasukan Argentina.
MESSI (kiri) menjalani sesi latihan bersama pasukan Argentina.
AFP

Santa Clara, AS: Jurulatih Argentina Gerardo Martino berkata, tiada keputusan dibuat berhubung tahap kecergasan Lionel Messi untuk perlawanan pertama pasukannya menentang Chile pada Copa America Centenario.

Messi yang tiba di California Jumaat lalu selepas menyerahkan bukti terhadap perbicaraan penipuan cukai minggu lalu, bergelut dengan kecederaan belakang ketika kemenangan Argentina ke atas Honduras 1-0 hujung bulan lalu.

Biarpun dia dikhuatiri tidak dapat diturunkan untuk perlawanan Kumpulan D menentang Chile di Stadium Levi’s di Santa Clara, Martini berkata Messi akan diberi peluang untuk membuktikan kecergasannya.

Messi akan dinilai selepas sesi latihan Argentina di pusat latihan San Jose.

“Kami perlu menunggu sesi latihan pasa tengah hari, hanya selepas itu kami akan menilai situasinya,” kata Martino.

Tiada keputusan akan diambil untuk menurunkan Messi tanpa pengesahan daripada doktor pasukan dan pemain itu sendiri.

“Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mendengar pandangan doktor yang dilihat penting dalam perkara ini,” kata Martino.

“Selepas itu kami perlu mendengar kata Leo, itu pandangan kedua terpenting. Saya akan meluahkan pandangan selepas itu.

“Namun persoalan paling penting adalah soal kesakitan dan ketidakselesaan dan hanya pemain saja yang tahu masalah itu. Jika dia rasa tidak kena, dia tidak akan bermain.”

Argentina bertekad mengakhiri kemarau trofi 23 tahun pada kejohanan itu selepas kekalahan mengecewakan pada Piala Dunia 2014 dan Copa America 2015 di Chile. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 10:29 AM