Dr Ingky (gambar kiri) dan Fatin (gambar kanan)
Dr Ingky (gambar kiri) dan Fatin (gambar kanan)

PANDEMIK menyaksikan teknologi mengambil tempat dalam kehidupan seharian. Daripada aktiviti membeli-belah, pekerjaan sehingga pendidikan anak, segalanya membabitkan teknologi. 

Selain memudahkan urusan harian, orang ramai juga tidak melepaskan peluang memanfaatkan teknologi untuk melakukan perubahan hidup ke arah lebih baik. 

Ikuti kisah inspirasi dua individu di bawah, berkongsi manfaat teknologi dalam kehidupan mereka!

Perkenal klinik kulit digital 

ImageDr Lim Ing Kien juga mesra dikenali sebagai Dr Ingky popular di Instagram, Facebook dan TikTok - FOTO Nur Atifah

Hasrat untuk membantu orang ramai mendapatkan kulit sihat menjadi pencetus idea kepada Dr Lim Ing Kien dan rakan niaganya membangunkan klinik kulit digital, SkynFyx.

Dr Lim juga mesra dikenali sebagai Dr Ingky adalah pengasas MEDII Skin Studio & Clinic, memiliki empat cawangan klinik estetik di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) menyebabkan ramai pesakit tidak dapat ke klinik bagi sesi konsultasi dan mendapatkan produk penjagaan kulit yang betul. 

"Paling terjejas pesakit kami di negeri berlainan, sebelum ini mereka sanggup memandu jauh ke klinik hanya untuk mendapatkan rundingan pakar. Bagaimanapun, apabila PKP dilaksanakan segalanya jadi sukar dan terbatas. 

"Disebabkan itu kami segera memperkenal SkynFyx, membolehkan pesakit di seluruh Malaysia berunding dengan doktor kulit secara dalam talian tidak kira di mana sahaja mereka berada," katanya.

Menurut Dr Ingky, selepas mendaftar di SkynFyx.com, pesakit berpeluang berkomunikasi dengan doktor menerusi kotak perbualan yang tersedia di portal sama. 

Lebih menarik, pesakit juga boleh memuat naik gambar atau video ketika sesi konsultasi bagi memudahkan doktor mengenal pasti masalah kulit mereka. 

ImageAntaramuka portal SkynFyx mesra pengguna - FOTO SkynFyx

"Dengan kemudahan teknologi, produk yang dibekalkan kepada pesakit dirumus mengikut keperluan kulit dalam satu botol menjadikan ia lebih mudah, selamat dan diyakini," kongsi Dr Ingky.

Selepas selesai, produk penjagaan dan rawatan kulit itu akan dihantar menggunakan khidmat kurier terus ke pintu rumah pelanggan. 

Hasil tinjauan secara dalam talian, SkynFyx menerima reaksi positif apabila pengguna di seluruh negara dapat berhubung dengan doktor kulit pada bila-bila masa dan di mana sahaja. 

"Walaupun platform digital seringkali dianggap kurang digemari golongan berusia, tetapi saya bangga apabila pengguna SkynFyx berusia 40 tahun ke atas juga sangat ramai," katanya. 

Ditanya mengenai penambahbaikan perkhidmatan, Dr Ingky menyatakan setakat ini SkynFyx terhad untuk rawatan kulit dan pihaknya sedang berusaha mengembangkan rangkaian servis untuk rawatan rambut dan lain-lain.

Bisnes biskut, roti dalam talian terima sambutan

ImageFatin (dua dari kanan) bersama keluarga - FOTO Fatin  

Perniagaan bakeri secara kecil-kecilan yang pada mulanya diusahakan untuk memenuhi minat sendiri kini membuahkan hasil lumayan untuk seisi keluarga.

Tidak lokek berkongsi mengenai perniagaannya, Fatin Amirah Hanin Mohd Fauzi berkata produk bakeri yang diberi nama Tinxcrush itu setakat ini hanya dipasarkan secara dalam talian.

"Saya mempunyai pekerjaan tetap di Shah Alam, kekangan kerja dan tanggungjawab sebagai ibu menyebabkan perniagaan sampingan ini terpaksa bergantung penuh dengan media sosial dan platform e-dagang sahaja.

"Bagi tujuan pemasaran, saya kerap memuat naik gambar di Instagram dan membuat siaran langsung di platform media sosial untuk menarik lebih ramai pelanggan. 

ImageAntara pilihan produk bakeri di tinxcrush - FOTO @tinxcrush

Menurut Fatin, teknologi terkini memudahkan proses urus niaga apabila pelanggan boleh membuat tempahan menerusi pautan khas di Instagram, menghubungkan mereka terus ke aplikasi WhatsApp. 

Selain itu, Tinxcrush juga mengamalkan sistem pembayaran digital di mana pelanggan disaran membuat transaksi tanpa tunai menggunakan sistem perbankan dalam talian, aplikasi e-dompet atau kod QR. 

"Rata-rata pelanggan Tinxcrush adalah dari kawasan Lembah Klang, bagaimanapun jika menerima tempahan dari negeri lain, saya akan menggunakan servis bas atau kurier untuk penghantaran. 

"Setakat ini Tinxcrush menawarkan pelbagai pilihan biskut, roti dan kek. Saya berhasrat untuk menambah lebih banyak variasi produk bakeri dan pastri pada masa akan datang," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 1:06 PM