KILANG Selia-Tek di Kota Damansara.
KILANG Selia-Tek di Kota Damansara.
Nabil Basaruddin

Petaling Jaya: Selia-Tek Sdn Bhd (Selia-Tek), syarikat pengeluar produk plastik dan peralatan perubatan, berhasrat untuk muncul sebagai syarikat yang menghasilkan produk pengganti import bagi kegunaan industri di dalam negara berikutan pertumbuhan pesat serta prospek industri yang memberangsangkan.

Pengarah Urusannya, Kasim Sotin berkata, bagi merealisasikan perkara berkenaan, pihaknya membuat pelaburan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mengeluarkan produk berkualiti tinggi selain perlu diuji supaya menepati standard ditetapkan oleh pasaran semasa.

Beliau berkata, kerjasama bersama universiti awam tempatan turut memberikan impak positif kepada pengendalian operasinya kerana banyak kajian bersama yang dilakukan bersama memberikan maklum balas bagi pengeluaran produk yang lebih berinovasi dan efisien.

“Selain itu, kami juga mempunyai Jabatan R&D sendiri di mana usaha serta inisiatif terhadap pembangunan produk baharu dan peningkatan kemampuan produk sedia ada sentiasa dilakukan dengan kaedah penyelesaian kos yang lebih berkesan.

“Malah, dengan pengalaman dimiliki seperti tender pelbagai jenis kontrak Tenaga Nasional Berhad (TNB) termasuk pembekalan aksesori kabel secara pukal yang diimport. Semasa program vendor dimulakan, TNB menukar polisi yang menyaksikan semua kabel pada masa itu ditukar kepada kabel ditebat, menyebabkan aksesori dibekalkan kepada firma itu juga perlu ditukar.

“Pada masa itu, satu syarat dikenakan TNB adalah pembekal perlu mengeluarkan produk sendiri. Maka, anak syarikat Selia-Tek Industries Sdn Bhd ditubuhkan pada 1995 untuk mengeluar dan membekal aksesori kabel kepada TNB,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, keadaan ketika itu agak sukar kerana pihaknya perlu menghasilkannya secara domestik yang akhirnya membawa kepada usaha untuk membangunkannya menerusi usaha sama dengan SIRIM dan beberapa universiti tempatan hingga terhasilnya produk yang digunakan pada hari ini.

Kasim berkata, dalam memperkukuhkan syarikat pengeluaran Bumiputera itu, Selia-Tek turut mempelbagaikan kepakarannya termasuk menerokai pengeluaran produk perubatan pakai buang sekitar 10 tahun lalu.

“Kami mendapat kontrak bagi membekalkan picagari kepada Kementerian Kesihatan, menerusi Pharmaniaga Bhd. Itu adalah antara penyumbang terbesar pendapatan syarikat pada ketika ini.

“Penguasaan yang memberangsangkan bagi segmen produk perubatan pakai buang ini, memberikan jumlah jualan antara RM35 hingga RM40 juta setahun dengan sumbangannya adalah kira-kira 60 peratus daripada perolehan syarikat,” katanya.

Selain itu, Selia-Tek turut menembusi pasaran luar negara menerusi bantuan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang menyaksikannya syarikat Bumiputera itu kini membekalkan aksesori kabel ke Kemboja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 10:30 AM