PEMAIN Brazil Willian (kiri) mengasak pintu gol Ecuador.
PEMAIN Brazil Willian (kiri) mengasak pintu gol Ecuador.
AFP

Los Angeles: Keputusan kontroversi pengadil menyelamatkan maruah Brazil pada Copa America Centenario semalam apabila juara dunia lima kali itu membuka kempen dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Ecuador.

Ecuador berpeluang untuk mendahului pada aksi di Pasadena Rose Bowl pada pertengahan babak kedua apabila penjaga gol Brazil Alisson gagal menangkap kemas bola hantaran lintang Miller Bolanos yang masuk ke dalam gawang.

Namun ketika pemain Ecuador meraikan gol itu, pengadil perlawanan meniup wisel mengarahkan sepakan gol diberikan kepada Brazil kerana tidak membenarkan jaringan berkenaan yang dikatakan bola sudah keluar sebelum Bolanos membuat sepakan.

Ulangan insiden itu menyaksikan bola sebenarnya masih dalam permainan dan Brazil terselamat daripada menerima kekalahan pertama Kumpulan B angkara kesilapan pengadil.

Pemain Brazil diejek ketika meninggalkan padang oleh 53,158 penonton di Rose Bowl iaitu gelanggang pasukan gergasi Amerika Selatan itu ketika memenangi final Piala Dunia 1994.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2016 @ 8:02 AM