Reuters

Lausanne: Ecuador dibenarkan bermain di Piala Dunia Qatar 2022 selepas Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) membuat keputusan Byron Castillo dianggap rakyat negara itu, walaupun Chile mendakwa dia tidak layak bermain di peringkat kelayakan.

Bagaimanapun, CAS berkata, Ecuador akan dipotong tiga mata sebaik peringkat kelayakan Piala Dunia 2026 bermula dan didenda AS$101,605.36 (RM480,000) kerana menggunakan dokumen mengandungi maklumat palsu.

"Memandangkan isu kerakyatan pemain bersama skuad kebangsaan bergantung kepada undang-undang negara (bergantung kepada tempoh masa bagi kes kerakyatan berkaitan sukan dan tiada isu dalam kes ini), Byron Castillo layak bermain di peringkat awal Piala Dunia Qatar 2022," kata CAS dalam kenyataan.

CAS yang juga mahkamah tertinggi dalam sukan berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan fakta pihak berkuasa Ecuador mengesahkan Castillo sebagai warganegara Ecuador.

Ecuador diundi dalam Kumpulan A bersama Qatar, Senegal dan Belanda di Qatar 2022.

Pasukan Amerika Selatan itu akan menentang tuan rumah pada perlawanan pembuka tirai kejohanan pada 20 November ini.

Pada September lalu, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) menolak rayuan Chile selepas mendakwa Castillo dilahirkan di Tumaco, Colombia pada 1995 dan bukannya di bandar di Ecuador iaitu General Villamil Playas pada 1998, seperti tertera pada dokumen peribadinya.

Castillo bermain lapan perlawanan kelayakan Piala Dunia bersama Ecuador termasuk dua kali menentang Chile sebelum menduduki tempat keempat dan layak ke Qatar 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 11:08 AM