PEMAIN Ecuador gembira selepas mereka memulakan aksi Piala Dunia Qatar dengan meraih tiga mata. FOTO Reuters
PEMAIN Ecuador gembira selepas mereka memulakan aksi Piala Dunia Qatar dengan meraih tiga mata. FOTO Reuters
AFP

Al Khor: Qatar menjadi tuan rumah pertama Piala Dunia tumpas dalam perlawanan pembukaan selepas mereka kalah 0-2 kepada Ecuador sebentar tadi.

Dua gol pada separuh masa pertama oleh penyerang vetaran, Enner Valencia mengesahkan kemenangan Ecuador dalam saingan Kumpulan A.

Penyokong Qatar mula keluar dari Stadium Al Bayt sebelum wisel penamat dibunyikan selepas persembahan dominan yang dipamerkan oleh Ecuador.

Valencia menjaringkan gol awal menerusi penalti dan menambah koleksi jaringan pada minit ke-31 menerusi tandukan untuk membolehkan pasukan Amerika Selatan itu mendahului 2-0 sebelum rehat.

Qatar berusaha untuk mengelak menjadi tuan rumah Piala Dunia pertama yang tewas pada perlawanan pembukaan, kelihatan goyah walaupun berbulan-bulan melakukan persiapan.

PEMAIN Qatar kecewa selepas tumpas kepada Ecuador. FOTO AFP
PEMAIN Qatar kecewa selepas tumpas kepada Ecuador. FOTO AFP

Penjaga gol, Saad Alsheeb ternyata gugup selepas menjatuhkan Valencia sekali gus menghadiahkan penalti buat Ecuador pada minit ke-16.

Sebelum itu dia cuba untuk mendapatkan bola dalam keadaan kelam-kabut membolehkan penyerang berkenaan menanduk masuk bola ke dalam gawang pada minit ketiga namun ia dibatalkan kerana ofsaid.

Ecuador membenarkan Qatar lebih banyak menguasai bola selepas rehat tetapi mereka masih lagi kelihatan lebih berbahaya, dengan percubaan dilakukan Romario Ibarra memaksa Saad untuk merebahkan badan.

Valencia terhincut-hincut pada minit ke-77 selepas sering diasak pemain lawan namun ia tetap memuaskan ribuan penyokong Ecuador selepas dua jaringannya menghadiahkan tiga mata berharga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 2:26 AM