PEMAIN Brazil meraikan jaringan Coutinho (dua kiri).
PEMAIN Brazil meraikan jaringan Coutinho (dua kiri).
AFP

Los Angeles: Philippe Coutinho meledak hatrik ketika Brazil membelasah Haiti 7-1 pada Copa America Centenario semalam manakala Ecuador menghasilkan kebangkitan menakjubkan untuk menghalang usaha Peru memastikan tempat ke suku akhir.

Coutinho mempamerkan prestasi yang menjadikannya seorang daripada penyerang berbisa Liverpool dalam Liga Perdana musim lalu ketika Brazil mengungguli Haiti dalam pertembungan sulung kompetitif antara kedua-dua negara.

Pemain tengah menyerang berusia 23 tahun itu mencetak dua gol pertamanya dalam tempoh 30 minit pertama dalam perlawanan Kumpulan B yang berat sebelah di Citrus Bowl, Orlando, Florida.

Coutinho kemudian meraih gol ketiganya pada masa kecederaan apabila melencongkan satu sepakan menakjubkan bagi melengkapkan malam gemilang.

Brazil, yang seri 0-0 dengan Ecuador pada perlawanan pertama hujung minggu lalu, kini mendahului Kumpulan B secara perbezaan gol apabila mengumpul empat mata sama dengan Peru, yang diikat 2-2 oleh Ecuador semalam.

Pengurus Brazil Dunga menghamburkan pujian terhadap persembahan Coutinho, yang menyumbat 12 gol dalam semua pertandingan buat Liverpool musim lalu.

“Dia betul-betul menggunakan kesempatan berikutan peluang yang diberikan kepadanya,” ujar kapten Brazil yang menjuarai Piala Dunia 1994.

“Kami banyak bercakap mengenainya sebagai ‘Liverpool Coutinho’ untuk memulakan inisiatif, menjadi tonggak utama pasukan, semua dengan gayanya tersendiri,” jelas Dunga.

Gol lain Brazil hadir menerusi Renato Augusto (dua), bintang remaja Gabriel Barbosa dan Lucas Lima.

Sementara itu, Ecuador mengecewakan impian Peru memastikan tempat ke suku akhir, bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk seri 2-2 di Glendale, Arizona.

Jaringan individu mengagumkan daripada pemain West Ham Enner Valencia dan gol babak kedua pemain tengah berpangkalan di Brazil Miller Bolanos melengkapkan kebangkitan Ecuador.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 10:07 AM