Yusliza Yakimir Abd Talib


Memiliki tubuh gempal tidak bermakna seseorang harus ketinggalan dalam fesyen kerana melaluinya, ia menyerlahkan penampilan diri dan menjadikan wanita tampak lebih berkeyakinan dan sempurna.

Menyedari kesukaran buat wanita bertubuh comel mendapatkan pakaian mengikut trend terkini, pemilik butik Sangkapuri Project, Ashikin Ahmad Mahir dan Rika Allan mengilhamkan rekaan khusus buat wanita bertubuh gempal.

Dua sahabat baik sejak hampir lapan tahun itu menggabungkan tenaga dan idea unik menghasilkan koleksi pakaian wanita bersaiz besar bermula saiz XL hingga 10XL dengan rekaan terkini dan memenuhi cita rasa penggemar fesyen saiz besar di Malaysia terutama Muslimah yang ingin tampil trendy.

Jika sebelum ini golongan bersaiz besar sering ‘makan hati’ kerana tidak dapat tampil bergaya disebabkan kesukaran mendapatkan saiz, butik itu menyediakan pelbagai pilihan pakaian dan aksesori seiring perkembangan fesyen terkini.

“Pada awal pembabitan, kami menyediakan perkhidmatan membuat skirt secara dalam talian saja. Memandangkan kami tidak mengehadkan saiz dan rekaan, permintaan daripada golongan bersaiz besar sangat menggalakkan.

“Warna dan rekaan dipelbagaikan dan sering diperbaharui mengikut cita rasa moden, terkini dan memenuhi keperluan semua peringkat usia. Bagi remaja, mereka cenderung memilih warna terang untuk tampil lebih menonjol dan yakin diri manakala golongan korporat pula gemar memilih warna gelap untuk kesesuaian di tempat kerja atau acara penting.

“Kami menggunakan kain crepe sifon, sifon, kapas, kapas Jepun, kapas sutera dan rayon viscose bagi keselesaan pelanggan bersaiz besar kerana ada antara mereka cepat berpeluh serta alah pada jenis fabrik tertentu.

“Kami amat berhati-hati dalam setiap pemilihan bagi mengelakkan ketidakselesaan dalam rutin mereka. Sebelum mencadangkan sesuatu rekaan, kami bertanya terlebih dulu tujuan pembelian sama ada pakaian untuk acara tertentu atau sekadar kasual supaya lebih mudah menyesuaikan cadangan kami dengan keperluan mereka,” katanya.

Koleksi butik yang terletak di Bandar Sri Permaisuri, Cheras itu mula dikeluarkan sekitar Ramadan 2014 dengan rekaan yang paling mendapat sambutan ketika itu ialah kebaya kardigan sifon dan skirt Valentino.

Rika berkata, ada kalanya mereka tidak tidur berhari-hari kerana menyiapkan tempahan pelanggan dan tidak menyangka koleksi butik itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan memandangkan masih baru dalam bidang fesyen ketika itu.

Katanya, pelanggan tidak terhad di Malaysia, malah ada pelanggan tetap di Brunei, Singapura dan Indonesia. Koleksi butik itu berharga RM39 hingga RM135 dan sering mengadakan promosi jualan kombo bagi pembelian lebih tiga koleksi pada harga sama.

Ciri utama rekaan iaitu gabungan keselesaan, gaya dan kesopanan bagi memaksimumkan kepuasan pelanggan. Mereka juga mahu pelanggan yang mengenakan koleksi itu gembira kerana kelihatan anggun bergaya serta selesa tapi masih kekal sopan.

“Perancangan kami seterusnya ingin mempelbagaikan rekaan koleksi contohnya pakaian sukan, renang dan formal. Kami berhasrat membesarkan rangkaian jenama ini ke negeri lain kerana permintaan dari luar Kuala Lumpur juga memberangsangkan, di samping merancang menambah produk jualan seperti aksesori dan kasut kesihatan bersaiz besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 7:29 AM