FABRIK kapas pilihan utama kerana selesa, senang dijaga selain sesuai di negara iklim khatulistiwa.
FABRIK kapas pilihan utama kerana selesa, senang dijaga selain sesuai di negara iklim khatulistiwa.
FABRIK kapas pilihan utama kerana selesa, senang dijaga selain sesuai di negara iklim khatulistiwa.
FABRIK kapas pilihan utama kerana selesa, senang dijaga selain sesuai di negara iklim khatulistiwa.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Pemakaian busana Muslimah di negara ini tidak lagi terhad kepada jubah semata-mata kerana kini semakin banyak pereka yang tampil dengan rekaan pakaian unik dan selesa, tetapi memenuhi syariat.

Ini termasuk pakaian kasual untuk Muslimah aktif seperti baju luar (outerwear), kardigan labuh dan kaftan sebagai pelengkap gaya yang bukan saja menampilkan ciri moden dan anggun malah jika pandai disuai padan pasti mampu menyerlahkan gaya si pemakai.

Kini pemakaian busana itu boleh dipakai santai malah tampak elegan untuk pemakaian kasual mahupun ke pejabat. Namun, di Malaysia pasaran busana seumpama ini tidak begitu meluas malah mungkin boleh dibilang dengan jari pengeluarannya.

Dek kurangnya pasaran pakaian ini di Malaysia, butik Calya tampil dengan pilihan busana itu dengan rekaan ringkas, tapi masih mengekalkan gaya tersendiri.

Diasaskan oleh Nur Afiqah Zulkifli, 23, butik itu menawarkan koleksi pakaian kasual eksklusif kerana keluarannya terhad dengan harga jualan yang mampu dimiliki oleh semua.

Jika kebanyakan butik lain lebih mengkhususkan pengeluaran jubah, dia lebih selesa lari daripada kebiasaan memandangkan dia sendiri penggemar busana ini.

“Memang agak sukar mendapatkan pakaian ini yang cantik dan boleh digayakan ke mana saja. Jadi saya terfikir kenapa tidak saya sendiri mengeluarkkannya dan menjual kepada orang ramai malah saya juga dapat memakai koleksi yang saya ilhamkan sendiri.

“Bagi saya, fesyen bergerak seiring dengan keyakinan diri. Fesyen juga menggambarkan diri kita apabila berhadapan dengan orang ramai. Oleh itu, kita harus selesa dan yakin dengan apa yang dipakai,” katanya.

Koleksi kasual Calya dipastikan menepati objektifnya iaitu longgar, mengikut trend semasa, unik dan semestinya sopan dengan penggunaan fabrik kapas menjadi pilihan utama kerana ia selesa dan senang dijaga selain sesuai untuk dipakai di negara beriklim Khatulistiwa yang agak panas.

Selain itu, fabrik lain seperti sifon yang diimport khas juga menjadi pilihan bagi menghasilkan pakaian kasual sesuai dipakai dalam apa jua acara termasuk pelbagai musim perayaan.

“Saya amat mementingkan pemilihan fabrik oleh itu, penting bagi saya memilih fabrik terbaik untuk dijadikan pakaian. Selain itu, saya juga mementingkan rekaan dan setiap rekaan yang dihasilkan akan disemak sebelum dijual kepada pelanggan. Kualiti menjadi keutamaan Calya,” katanya.

Menurutnya, butik yang diasaskannya sejak 2014 itu terus mendapat sambutan di luar jangkaan dan memiliki pelanggan tetap yang sentiasa menanti koleksi terbaru Calya.

Bukan hanya pelanggan tempatan, 50 peratus pelanggannya juga dari negara luar seperti Singapura, Brunei , Indonesia dan Korea. Setiap rekaan mempunyai kelainan daripada koleksi sebelumnya dan bagi meningkatkan kualiti dan keunikan sedia ada, Calya mengeluarkan satu produk yang digunakan daripada jenis fabrik yang lain daripada sebelumnya.

Menurut Nur Afiqah, Calya mengeluarkan dua koleksi terbaru setiap bulan mengikut trend semasa dengan sekurang-kurangnya tiga warna untuk setiap koleksi mengikut peredaran musim.

Penggunaan warna terang, asas, lembut selain corak moden, klasik dan minimalis menjadi pilhan menghasilkan pakaian kasual butik ini yang menjadi ciri uniknya.

Koleksinya boleh didapati bermula pada harga RM79 hingga RM240 di Instagram dan Facebook calyasempurna atau di butik Calya di 13-G, Jalan PJU5/20E, The strand, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2016 @ 5:01 AM