ZULKIFLI (tengah) menyampaikan anugerah kepada Ronnie Julient. FOTO Che Rani Che Din
ZULKIFLI (tengah) menyampaikan anugerah kepada Ronnie Julient. FOTO Che Rani Che Din
ZULKIFLI menyampaikan anugerah kepada Morris. FOTO Che Rani Che Din
ZULKIFLI menyampaikan anugerah kepada Morris. FOTO Che Rani Che Din
ZULKIFLI menyampaikan anugerah Khairul Azmin. FOTO Che Rani Che Din
ZULKIFLI menyampaikan anugerah Khairul Azmin. FOTO Che Rani Che Din
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Padawan: Buat julung kalinya, tiga pelatih terbaik Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel menerima hadiah tiket penerbangan ke luar negara sebagai penghargaan atas kecemerlangan.

Mereka menerima hadiah istimewa itu pada Perbarisan Tamat Latihan PLAK Konstabel Skuad 3/2015 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching di Jalan Puncak Borneo, di sini, hari ini.

Pelatih Terbaik Keseluruhan, Konstabel Morris Denis yang berasal dari Sibu, menerima dua tiket penerbangan Air Asia pergi balik ke Bali, Indonesia.

Pelatih Terbaik Latihan Luar, Konstabel Khairul Azmin Sodiwal dari Tawau, Sabah menerima dua tiket penerbangan Air Asia pergi balik ke Medan, Indonesia.

Ronnie Julient Romadass yang berasal dari Gombak, Selangor muncul Pelatih Terbaik Akademik dan beliau menerima dua tiket penerbangan pergi balik ke Krabi, Thailand.

Hadiah pelatih terbaik disampaikan Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Seramai 1,313 pelatih PLAK Konstabel Skuad 3/2015 menamatkan latihan.

Sementara itu, pegawai AirAsia, Shahril Hafizi Radzali berkata, penajaan hadiah tiket penerbangan itu adalah antara sumbangan syarikat penerbangan murah itu terhadap kerjasama yang dijalin bersama PDRM.

"Inilah tajaan hadiah tiket penerbangan yang pertama AirAsia sumbangkan untuk pelatih terbaik PDRM dan kami memilih PULAPOL Kuching sebagai penerima sulung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 2:53 PM