DUTERTE (kanan) pada sidang akhbar di Davao, kelmarin.
DUTERTE (kanan) pada sidang akhbar di Davao, kelmarin.
Agensi

Manila: Pertubuhan media semalam menyuarakan kemarahan terhadap bakal presiden baru Filipina, Rodrigo Duterte yang menyokong pembunuhan wartawan yang dianggap korup.

Mereka memberi amaran, kenyataannya itu akan mencetuskan lebih banyak pembunuhan di negara yang antara paling berbahaya di dunia untuk wartawan.

Duterte yang menang besar dalam pilihan raya bulan lalu selepas berikrar untuk membunuh puluhan ribu penjenayah memberitahu wartawan kelmarin, wartawan yang menerima rasuah atau terbabit dalam aktiviti rasuah, wajar dibunuh.

“Hanya kerana kamu wartawan tidak bermakna kamu terkecuali daripada pembunuhan, sekiranya kamu anak gampang,” kata Duterte ketika diminta mengulas mengenai pembunuhan seorang wartawan di Manila minggu lalu.

Kesatuan Wartawan Kebangsaan Filipina (NUJP) menyifatkan kenyataan itu sebagai mengejutkan.

Ia mengaku wujud masalah rasuah dalam industri itu, tetapi ia tidak mewajarkan wartawan dibunuh.

“Duterte, secara tidak langsung mengisytihar bermulanya kempen untuk memaksa media membisu, baik wartawan individu mahupun institusi itu,” kata NUJP dalam kenyataannya.

Filipina adalah antara negara paling berbahaya di dunia untuk wartawan dengan 176 pembunuhan sepanjang 30 tahun lalu.

Pada sidang akhbar di Davao malam kelmarin, Duterte berkata, majoriti wartawan yang dibunuh perlu menyalahkan diri sendiri.

“Kebanyakan yang dibunuh, secara jujur, sudah melakukan kesalahan. Anda tidak akan dibunuh sekiranya anda tidak melakukan kesalahan,” kata Duterte yang akan mengangkat sumpah menjadi presiden pada 30 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 9:48 AM