Malmo, Sweden: Sweden amat terasa ketiadaan penyerang yang juga kapten Zlatan Ibrahimovic apabila sekadar seri 0-0 ketika menentang Slovenia pada perlawanan persahabatan menjelang saingan Euro 2016, semalam.

Sebahagian besar 17,000 penyokong Sweden hadir untuk melihat aksi Ibrahimovic tetapi hampa apabila pemain itu tidak diturunkan dan rata-rata kecewa dengan corak permainan pasukan ketika menentang lawan yang tidak layak ke Kejohanan Eropah itu.

Ibrahimovic tidak turun gara-gara kecederaan betis dan jurulatih Erik Hamren (gambar) perlu memikirkan banyak perkara sebelum memutuskan 23 pemain terakhir yang akan dibawa ke Perancis.

Penyerang Bordeaux Isaac Kiese Thelin, kembali bermain selepas baru pulih daripada kecederaan dan terlepas dua peluang menjaringkan gol - pertama ketika memperdayakan pertahanan Slovenia sebelum rehat dan yang keduanya hasil hantaran lintang John Guidetti pada minit ke-50.

Penyerang Celta Vigo Guidetti bagaimanapun hampir pasti disenaraikan ke Euro 2016 selepas mempamer aksi meyakinkan tetapi dia juga terlepas dua peluang pada minit ke-58 dan 64.

Pemain Benfica Victor Lindelöf, 21, kelihatan semakin mantap di benteng pertahanan walaupun baru tiga kali mewakili negaranya manakala pemain sayap Olympiakos Jimmy Durmaz turut cemerlang sambil pemain tengah Albin Ekdal kembali cergas berikutan kecederaan belakang. Masalah pangkal paha Oscar Lewicki juga semakin pulih.

Penjaga gol Slovenia jarang diuji tuan rumah walaupun pada minit ke-84 dia terpaksa melayangkan badannya untuk menafikan cubaan pemain gantian Marcus Rohden pada minit ke-84.

Sweden akan menentang Wales di Solna pada 5 Jun - perlawanan pemanas badan terakhir sebelum bertemu Republik Ireland di Stade de France pada aksi pembukaan Euro 2016. Sweden juga akan menentang Belgium serta Itali dalam Kumpulan E. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 9:03 AM