Zalif Sidek nafi mengamuk. - Foto Fail
Zalif Sidek nafi mengamuk. - Foto Fail
Najiy Jefri


Kuala Lumpur : Pelakon Zalif Sidek menafikan dakwaan dia mengamuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) kerana membawa bagasi melebihi had berat ditetapkan ketika mahu menaiki pesawat dari Kuching ke Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Zalif, 29, atau nama sebenarnya Md Zalif Naquiyudin Wan Abu Bakar Sidek menyangkal dakwaan dia memarahi kakitangan kaunter daftar masuk lapangan terbang berkenaan serta menghempas begnya di kaunter terbabit.

“Dakwaan itu mengarut. Jika mengamuk sudah tentu saya ditahan atau disiasat pihak berkuasa,” katanya mengulas laporan sebuah akhbar di ruangan gosip semalam.

Zalif yang popular menerusi filem Papa I Love You, berkata dia mengakui beg dibawanya melebihi had berat bagasi dan diminta dengan baik oleh kakitangan di kaunter itu untuk menimbang bagasi sebelum menaiki pesawat.

“Berat bagasi saya lebih dua kilogram dan diminta memindahkan beberapa barangan ke beg rakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 8:04 PM