ANTARA premis makanan yang beroperasi meskipun banjir belum surut di Kelantan, baru-baru ini. FOTO Arkib NSTP
ANTARA premis makanan yang beroperasi meskipun banjir belum surut di Kelantan, baru-baru ini. FOTO Arkib NSTP
Siti A’isyah Sukaimi


MANA-MANA pengusaha didapati masih beroperasi menyediakan makanan di premis makanan dinaiki air banjir boleh dikenakan tindakan penutupan premis dan kompaun mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan memandang serius isu kebersihan dan keselamatan makanan di semua premis makanan termasuk yang masih beroperasi semasa banjir.

“Kementerian Kesihatan ingin menegaskan mana-mana tempat penyediaan makanan yang dinaiki air semasa banjir adalah tidak dibenarkan beroperasi selaras dengan kehendak di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Ini kerana air banjir adalah kotor dan mengandungi pelbagai jenis bakteria yang berisiko mencemari makanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan isu premis makanan yang masih beroperasi walaupun dinaiki air banjir di Kelantan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menasihati orang ramai supaya sentiasa peka dan prihatin kepada pemilihan premis makanan, penjagaan kebersihan dan keselamatan makanan semasa banjir.

“Ini termasuk minum air dan makan makanan yang sudah dimasak sahaja, elakkan memakan makanan mentah seperti ulam-ulaman dan makanan yang terdedah.

“Jaga kebersihan diri dan amalkan membasuh tangan sebelum makan dan selepas ke tandas serta dapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala keracunan makanan seperti cirit-birit dan muntah,” katanya.

Sekiranya mana-mana pihak mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu kebersihan dan keselamatan makanan semasa banjir, hubungi Pejabat Kesihatan Daerah/Kawasan/Bahagian atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 2:27 PM