Siti A'isyah Sukaimi


KEMENTERIAN Kesihatan melakukan tindakan penguatkuasaan secara berterusan terhadap penjualan air zam zam di negara ini selaras dengan larangan oleh kerajaan Arab Saudi.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mengambil maklum isu mengenai Kedutaan Arab Saudi yang melarang penjualan air zam zam di mana-mana premis termasuk kedai buku di sekitar Kuala Lumpur dan seluruh negara.

"Kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan pengedaran air zam zam secara percuma kepada jemaah haji dan umrah serta pelawat untuk kegunaan persendirian dalam kuantiti terhad semasa berlepas dari Arab Saudi.

"Justeru, penjualan air zam zam adalah tidak dibenarkan di negara ini," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, air zam zam diperolehi dari bawah tanah dan dikategorikan sebagai air mineral semula jadi seperti termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air serta kelulusan dan pengesahan daripada pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bersetuju supaya Kementerian Kesihatan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zammemandangkan ia di bawah bidang kuasa pihaknya.

"Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam berdasarkan Seksyen 4(1)(f), Akta Makanan 1983.

"Hasil penguatkuasaan yang dijalankan sejak tahun 2012 sehingga 31 Oktober lalu di seluruh negara, air zam zam bernilai RM58,191.80 dirampas.

"Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan sedang meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas penjualan air zam zam," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana individu disabitkan kesalahan menjual air zam zam boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Katanya, sekiranya pengguna mempunyai sebarang pertanyaan mengenai isu keselamatan makanan, boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 8:30 PM