ANZALNA
ANZALNA
Syafil Syazwan Jefri


Memperkenalkan koleksi tudung, Anzel Scarf by Anzalna pelakon jelita, Anzalna mengakui perniagaan itu merangsangnya untuk berhijab.

Jelasnya, biarpun bukan dalam masa terdekat, dia tetap akan melaksanakan hasrat itu apabila sudah bersedia.

“Mungkin ada yang pertikai kenapa saya jual tudung sedangkan diri sendiri belum berhijab.

“Awalnya, memang saya serba salah, namun apabila difikirkan semula usaha ini sedikit sebanyak bawa saya ke arah lebih positif.

“Satu hari nanti saya akan bertudung juga, cumanya biarlah ikhlas daripada hati dan bukan kerana orang lain,” katanya.

Tambah pelakon ini lagi, dia ingin koleksinya menjadi alternatif buat wanita bertudung memilih gaya yang mereka inginkan.

“Bukan niat saya mahu buat duit semata-mata sebaliknya mahu berkongsi dan mengajak lebih ramai wanita supaya bertudung,” katanya.

Katanya lagi, kalau tampil bertudung, dia mahu kekal dengan imej sebegitu dan bukan hanya sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’.

“Kalau bertudung tetapi tidak konsisten kerana mengikut musim, lagilah orang mengata. Jadi, lebih molek sekiranya saya pakai apabila sudah bersedia,” katanya.

Kongsi Anzalna, jualan bulan pertama koleksi tudung kolaborasinya bersama Datuk Aliff Syukri itu mencecah RM500,000.

“Ia secara tidak langsung memberikan peluang orang sekeliling saya menjana pendapatan. Kalau buat sendirian, tidak mungkin saya boleh fokus.

“Mujurlah ada pasukan Datuk Aliff yang banyak membantu menyusun strategi perniagaan sehingga jenama tudung saya cepat dikenali dan mendapat sambutan,” katanya.

Dia yang turut menjual produk penjagaan rambut bakal tampil dengan rangkaian produk baru sesuai untuk wanita bertudung.

Rindu untuk kembali beraksi depan kamera, Anzalna bagaimanapun perlu akur dengan tanggungjawabnya sebagai isteri.

“Tawaran berlakon ada tetapi terpaksa saya tolak kerana mahu fokus kepada suami dan rumah tangga.

“Insya-Allah selepas Aidilfitri saya akan kembali berlakon,” katanya.

Ditanya sama ada sudah bersedia bergelar ibu, Anzalna tidak menolak sekiranya ada rezeki.

“Buat masa sekarang, belum ada rezeki. Kami pun baru tiga bulan berkahwin.

“Kami tidak merancang dan andai hamil dalam waktu terdekat, kami terima dengan penuh syukur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 9:46 AM