SHERRY.
SHERRY.
Sudirman Mohd Tahir


Tanggal 3 April lalu detik paling indah dalam hidup pelakon, Sherry Ibrahim apabila nekad berhijab sempena menyambut ulang tahunnya yang ke-33.

Menurut Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim, hatinya mula terdetik untuk melaksanakan kewajipan itu selepas menghadiri sidang media program Gempak Superstar pada minggu lalu.

“Ikutkan saya mahu bertudung selepas kahwin nanti. Namun, siapa saya untuk menghalang kuasa Allah SWT. Dengan sekelip mata Dia berikan saya hidayah.

“Sepanjang seminggu, saya sentiasa berdoa semoga niat baik itu dipermudahkan dan diberi kekuatan. Alhamdulillah, saya diberikan petunjuk setiap hari.

“Sejak itu, saya mula berfikir sudah tiba masanya saya berubah. Apatah lagi Allah membuka laluan itu pada usia sebegini dan dalam keadaan sihat walafiat,” katanya.

Sambung Sherry, penghijrahannya bukan sekadar luaran sahaja sebaliknya turut dalam proses memperbaiki diri.

“Tidak guna jika berhijrah penampilan sahaja tetapi dalaman masih sama. Ia perkara yang paling ditakuti. Sebab itu, beri saya ruang dan masa untuk belajar.

“Cuma, apabila membabitkan bidang seni, saya tidak boleh seperti dulu. Ada perkara yang perlu dipandang serius terutama soal pergaulan,” katanya.

Sherry berkata, kekasihnya Fattah Amin antara individu yang selama ini banyak memberi doro­ngan untuknya berhijrah selain nasihat daripada orang tua.

“Sepanjang saya bersama Fattah, dia tidak pernah memaksa saya berhijab. Cuma dia lebih kepada memberi galakan dan dorongan.

“Namun penghijrahan ini bukan kerana dia sebaliknya atas kehendak dan kesedaran diri sendiri,” katanya.

Pada masa sama, Sherry menafikan keputusan berhijab itu petanda akan berkahwin dengan pelakon drama Bodyguard itu seperti yang dicanang banyak pihak.

“Saya pun pelik, apabila artis berhijab pasti disangka mahu berkahwin. Perancangan ke arah itu memang ada tetapi bukan dalam masa terdekat.

“Saya tidak mahu orang salah anggap. Apa saya lakukan adalah kerana Allah,” katanya.

Pelakon drama Keluarga Karaoke ini turut mengakui sejak ibu bapanya pulang mengerjakan haji, dia sering dinasihati supaya berhijab.

“Terus terang ketika itu saya belum bersedia. Bukan apa, kalau saya nak berubah sekalipun biarlah dalam keadaan yang lebih baik dan sepenuh hati.

“Sebab itu apabila saya tampil berhijab pada pagi Ahad lalu, mereka terkejut. Dapat saya lihat kegembiraan pada wajah mereka.

“Sekurang-kurangnya saya sudah melakukan sesuatu yang baik untuk mereka. Saya terharu dengan sokongan yang mereka berikan,” katanya.

Belajar pakai tudung

Sejak ada niat mahu betudung, Sherry mula mengumpul dan mengasingkan pakaian yang tidak sesuai dengan penampilannya kini.

“Saya tidak bercadang membuang baju yang ada, mana yang boleh disuai padan saya masih gunakan.

“Selebihnya saya akan jual secara ‘preloved’ dan hasilnya disumbangkan ke badan kebajikan,” katanya.

Sambung Sherry lagi, disebabkan baru berhijab dia masih belajar menggayakan tudung mengikut kesesuaian dirinya.

Selain itu, Sherry turut memberitahu Fattah tidak membenarkannya memakai baju yang terlalu ketat.

“Macam saya katakan tadi, bukan saja berhijab malah penampilan lain juga perlu dijaga. Perkara itu yang selalu dipesan Fattah supaya tidak memakai pakaian yang ‘menjolok mata’,” katanya.

Perkembangan lain, penghijrahan Sherry tidak menjejaskan pembabitannya dalam program realiti Gempak Superstar, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 8:47 AM