Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Selepas memperoleh podium kedua di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dua minggu lalu sekali gus penamat terbaik setakat ini, pelumba negara Zulfahmi Khairuddin (gambar) berharap dapat meneruskan rentak cemerlang itu pada saingan seterusnya di Donington Park, United Kingdom hujung minggu ini.

Pelumba yang beraksi bersama Orelac Racing VerdNatura di Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) itu berkata, Litar Donington pengalaman baru untuknya kerana belum pernah beraksi di trek berkenaan.

“Saya harap dapat mempelajari selok belok litar dengan cepat kerana perlu memperoleh keputusan yang baik pada sesi kelayakan Sabtu ini (esok),” katanya.

Jelas Zulfahmi, berdasarkan pengetahuannya, Donington litar yang sukar untuk memotong dan atas faktor itu dia sememangnya mengharapkan dapat meraih catatan masa terbaik pada sesi kelayakan.

“Ia bagi memudahkan saya pada perlumbaan sebenar nanti. Litar Donington agak teknikal dan susah memintas pelumba di depan.

“Jika dapat kedudukan baik pada hari perlumbaan, saya mungkin boleh meraih keputusan yang lebih positif,” katanya.

Selepas tujuh pusingan, pelumba yang beraksi dalam kelas Supersport itu menduduki tempat ke-10 dengan mengumpul 40 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 8:29 AM