Ramli (dua dari kiri) menunjukkan kereta curi yang ditemui semula. FOTO Rasul Azli Sama
Ramli (dua dari kiri) menunjukkan kereta curi yang ditemui semula. FOTO Rasul Azli Sama
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Sebanyak 14 kenderaan termasuk enam van dipercayai dicuri, ditemui semula berikutan penahanan sembilan lelaki dalam Ops Lejang di Melaka, Johor dan Negeri Sembilan oleh sepasukan Polis Kontinjen Melaka sejak 13 Mei lalu.

Ketua Polis negeri Datuk Ramli Din berkata, operasi selama lapan hari itu berpandu kepada risikan sebelum suspek berusia 40-an hingga 62 tahun ditahan.

Katanya, lelaki berusia 62 tahun dipercayai dalang kumpulan itu dikenali sebagai Peter, ditahan di Negeri Sembilan 17 Mei lalu.

"Suspek utama (Peter) dipercayai aktif mencuri kenderaan sejak 2010 dan mempunyai 11 rekod jenayah lampau termasuk kes curi kenderaan, samun dan dadah.

"Dengan tertangkapnya suspek ini, polis percaya berjaya menyelesaikan 15 kes curi kenderaan di enam negeri termasuk Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor dan Perak," katanya dalam sidang media di IbuPejabat Polis Kontinjen (IPK), di Bukit Beruang, di sini, tadi.

Ramli berkata, sindiket terbabit mensasarkan kenderaan berpotensi dijual semula seperti BMW, Proton Waja, Honda City dan Nissan Vanette yang diletakkan di parkir awam sebagai modus operandi mereka.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, suspek utama juga dipercayai bertindak sebagai jurujual kenderaan yang sesetengahnya dijual murah pada harga serendah RM5,000. Malah, beliau tidak menolak ada kenderaan yang diklonkan serta ada yang dijadikan sebagai alat ganti kenderaan," katanya.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 2:50 PM