Anggota bomba memberi bantuan kepada wanita warga emas yang lemah selepas terbabit kemalangan. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
Anggota bomba memberi bantuan kepada wanita warga emas yang lemah selepas terbabit kemalangan. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
Khairul Najib Asarulah Khan

Nilai: Anggota bomba terpaksa memberi bantuan pernafasan (CPR) kepada nenek berusia 74 tahun selepas kereta dinaikinya terbabas dekat susur masuk Tol Nilai, Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, di sini, tengah malam tadi.

Difahamkan dalam kejadian jam 12.10 malam itu, kereta jenis Perodua Alza yang dinaiki S Suppamah bersama anak dan cucunya berpusing sebanyak dua kali sebelum melanggar bahu jalan berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mohd Syazwan Saidy berkata, pihaknya tiba di lokasi bersama 10 anggota sebaik menerima panggilan kecemasan jam 12.22 tengah malam.

"Sebaik tiba, kita mendapati semua mangsa sudah dikeluarkan pengguna jalan raya yang kebetulan melalui kawasan terbabit.

"Bagaimanapun, disebabkan wanita warga emas itu dalam keadaan lemah, kami segera memberi bantuan CPR sebelum menghantarnya menaiki ambulans Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban untuk rawatan lanjut.

"Kejadian dipercayai berlaku akibat jalan licin menyebabkan kereta yang dipandu cucu mangsa hilang kawalan ," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 11:06 AM