KIM Swee masih belum menandatangani kontrak baru.  FOTO Osman Adnan
KIM Swee masih belum menandatangani kontrak baru. FOTO Osman Adnan
Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Kesediaan untuk terus menyumbang bakti bersama skuad muda negara menjadi faktor jurulatih Datuk Ong Kim Swee berminat menerima tawaran kontrak baru daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Misinya masih belum selesai sebaliknya mahu meneruskan perjuangan bersama skuad bawah 22 tahun (B-22) negara yang akan bersaing buat kali pertama di pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di China, Januari tahun depan.

Kesanggupan Kim Swee untuk memperbaharui kontraknya yang bakal berakhir Disember ini sekali gus menamatkan spekulasi kedudukannya yang dikaitkan dengan perpindahan ke kelab negara jiran Indonesia.

Pengendali berusia 46 tahun itu bagaimanapun mengakui masih belum menandatangani kontrak baru itu namun secara dasarnya sudah bersetuju selepas mendapat sokongan padu kepimpinan FAM yang diterajui Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Saya percaya masih boleh memberikan sumbangan kepada skuad muda negara yang mempunyai potensi besar. Saya sudah berbincang dengan Tunku (Ismail) sebelum ini dan yakin dengan sokongannya serta semua pihak, kita boleh melakar lebih banyak kejayaan,” katanya.

Dalam laporan Arena Metro semalam, Tunku Ismail dalam sidang media mengumumkan secara dasarnya FAM dan Kim Swee sudah bersetuju dengan kontrak baru bagi tempoh satu atau dua tahun lagi.

Keputusan itu sudah pasti didorong kejayaan Kim Swee membawa pasukan melepasi kelayakan AFC B-23 di Bangkok secara merit Julai lalu dan muncul naib juara Sukan SEA Kuala Lumpur pada Ogos selepas mengambil alih tugas Frank Bernhardt pada Mac.

Kim Swee yang sebelum ini menggalas tugas sebagai jurulatih Harimau Malaya percaya, penyelesaian awal isu kontrak ini akan memudahkan perancangannya bersama skuad B-22 ke China.

“Selepas selesai perbincangan lanjut mengenai kontrak selepas ini, saya akan membentangkan program persiapan pasukan untuk ke China, kemungkinan akan mengadakan latihan di Korea Selatan. Apa pun saya gembira untuk terus bersama FAM di bawah teraju Tunku (Ismail),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 3:58 AM