JINQ En beraksi dalam  acara 100 meter renang kuak dada wanita, semalam.
JINQ En beraksi dalam acara 100 meter renang kuak dada wanita, semalam.
Aida Adilah Mat

Shah Alam: Catatan Phee Jinq En 1 minit 09.57 saat sudah cukup buatnya meraih emas dalam acara 100 meter kuak dada pada hari terakhir Kejohanan Renang Peringkat Umur Kebangsaan di Pusat Akuatik Darul Ehsan, semalam.

Jinq En berjaya menewaskan seorang lagi perenang kebangsaan yang juga pesaing utamanya Erika Kong di tempat kedua 1:12.52s dan Lei On Kei ketiga 1:14.18s.

Namun kuakan Jinq En itu tidak cukup untuk menyaksikan dia layak secara merit bagi kategori A ke temasya Sukan Olimpik Rio dalam acara kegemarannya itu.

Bagaimanapun Jinq En menegaskan dia berpuas hati dengan catatan itu apabila tidak menyangka dapat melakukan renangan di bawah catatan 1:10s kerana keadaan fizikal yang belum cergas sepenuhnya akibat keletihan selepas pulang menyertai kejohanan peringkat umur di Singapura, dua minggu lalu.

“Saya gembira dengan prestasi saya apabila dapat lakukan catatan di bawah 1:10s. Catatan masa yang dilakukan itu catatan kedua terbaik saya selepas mencipta rekod kebangsaan 1:08.99s dua minggu lalu di Singapura.

“Saya tidak meletakkan apa-apa sasaran di sini kerana sedikit letih dan hanya melakukan latihan ringan namun apa yang dicapai sudah memuaskan,” katanya.

Jinq En antara lima perenang yang melepasi syarat kelayakan bagi kategori B. Perenang Selangor itu meraih tiket itu ketika beraksi dalam acara 100m kuak dada pada Piala Dunia di Dubai, tahun lalu.

Ditanya sasarannya selepas ini, Jinq En yang mengakui perlu memperbaiki renangan bagi jarak 50m pertama berkata, dia berharap dapat melakukan catatan masa lebih baik apabila turun pada Terbuka Malaysia minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2016 @ 7:31 AM