Welson Sim ketika jalani latihan di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil. -Foto OSMAN ADNAN
Welson Sim ketika jalani latihan di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil. -Foto OSMAN ADNAN
Ajitpal Singh
ajitpalsingh@nst.com.my


KETIKA juara Olimpik Joseph Schooling dijangka mendominasi pungutan pingat di kolam renang, Malaysia pula akan bergantung kepada Welson Sim untuk mencatat sejarah dalam acara 200m, 400m dan 1,500m gaya bebas.

Acara renang akan bermula di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, esok.

Malaysia dijangka membuat permulaan gemilang menerusi Welson dalam 400m gaya bebas di mana dia adalah juara bertahan.

Perenang berusia 20 tahun itu semakin meningkat sejak memenangi acara terbabit di Sukan SEA Singapura dengan rekod baru 3:53.97.

Dia mencatat 3:49.48 untuk mengatasi juara Olimpik Mack Horton dari Australia untuk merangkul emas di pertandingan Mare Nostrum, Monaco, Jun lalu, sekali gus memadam rekod kebangsaan miliknya 3:50.33 yang dicatatkannya tahun lalu.

Welson juga mendapat peluang untuk menguasai 200m gaya bebas berikutan Schooling tidak menyertai acara terbabit.

Juara bertahan, Huong Quy Phuoc dari Vietnam akan menjadi pencabar terkuat Welson dalam acara itu.

Perenang Malaysia itu mempunyai kelebihan dengan catatan peribadi terbaik 1:47.67 yang dicatatkannya di Sukan Olimpik Rio. Perenang Vietnam itu pula mencatatkan masa 1:49.87 pada Kejohanan Dunia di Budapest, bulan lalu.

Cabaran terkuat Welson hadir pada 1,500m gaya bebas dari perenang Indonesia dan Vietnam yang mencatatkan prestasi baik dalam acara itu.

“Saya meletakkan sasaran merangkul dua emas dan akan cuba memenangi acara 1,500m. Pastinya ia bonus jika saya dapat melakukannya,” kata Welson yang turut menyertai acara renang berganti-ganti.

Jurulatih kebangsaan Paul Birmingham berkata, Welson sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk memberikan emas kepada Malaysia dalam acara 400m, hari ini.

“Welson memegang catatan terbaik dalam acara itu bagi rantau ini.

“Bagaimanapun saya mengingatkannya supaya tidak mengambil mudah kerana apa-apa boleh berlaku ketika hari perlumbaan.

“Dia cergas dan sudah bersedia,” katanya

Selain Welson, Phee Jinq En pula sesatunya perenang negara yang mampu meraih pingat emas acara 50m dan 100m kuak dada wanita.

Jinq En adalah juara bertahan acara 100m kuak dada dan pemenang perak 50m kuak dada pada edisi 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 3:05 PM