GRACE rangkul dua emas dalam acara tukul besi dan lempar cakera.
GRACE rangkul dua emas dalam acara tukul besi dan lempar cakera.
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) kali ke-58 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak sudah melabuh tirainya kelmarin dengan penuh gilang-gemilang sebelum diserahkan kepada Pulau Pinang sebagai pengelola tahun depan.

Kejayaan tuan rumah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) yang diterajui pengarahnya Shafruddin Ali Hussin mengelolakan kejohanan paling berprestij dalam kalangan pelajar tanpa sebarang insiden panas dan pertikaian atlet dan kontinjen yang bertanding membuktikan JPNT mampu mengendalikan kejohanan itu dengan berkesan.

Malah pujian daripada Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan juga membuktikan JPNT mampu melaksanakan tanggungjawab itu dengan baik biarpun misi muncul juara keseluruhan hanya tinggal impian selepas sekadar berakhir di tempat keempat.

Namun apa yang pasti kejayaan atlet yang bertanding mencipta 17 rekod baharu pada kejohanan kali ini berbanding 10 rekod di Melaka tahun lalu membuktikan pencapaian membanggakan dan perkembangan baik buat atlet pelapis negara.

Kejayaan raja pecut baharu dari Negeri Sembilan Muhammad Haiqal Hanafi melebur rekod 200 meter milik bekas raja pecut negara dari Terengganu Nazmizan Muhamad berusia 18 tahun di Ipoh dan kejayaan pelari pecut Terengganu Azreen Nabila Alias, 16, mencipta kejutan dengan memecah rekod acara 100m adalah antara contoh pencapaian membanggakan pada kejohanan MSSM kali ini.

Haiqal, 17, yang dipilih sebagai Olahragawan MSSM ke-58 turut berjaya mengutip emas dalam acara 100m dengan masa 10.66 saat biarpun gagal memecah rekod yang masih lagi menjadi milik pelari dari Sabah Rayzamshah Wan Sofian dengan catatan 10.57s di Pulau Pinang pada 2006.

Atlet dari Sarawak Grace Wong juga layak dilabel permata baharu pada kejohanan itu apabila merangkul dua emas dalam acara tukul besi dan lempar cakera manakala gangsa diperoleh menerusi acara lontar peluru.

Lebih manis Olahragawati kejohanan kali ini juga berjaya memecah rekod baharu dalam acara tukul besi dengan catatan 52.70m sekali gus memadam rekod miliknya sendiri tahun lalu 50.74m di Melaka.

Selain tiga atlet bawah 18 tahun itu turut cemerlang atlet berusia 12 tahun dari Kedah Rabiatul Yusra Adenan dan Audray Macshaquille Henry Jugah dari Sarawak.

Rabiatul meraih dua emas dalam acara 100m dan 200m serta satu rekod baharu dalam acara 100m dengan catatan 13.02s memadam rekod lama 13.11s manakala Audray memperoleh satu emas dalam acara 100m dan perak 200m.

Bagi kategori bawah 15 tahun pula, atlet dari Terengganu Noor Faizatul Natasha Mohd Bakri dan Muhammad Aftar Rosli dari Kedah masing-masing dinobat atlet cemerlang pada kejohanan kali ini.

Noor Faizatul berjaya mengutip tiga emas menerusi acara 400m, 100m dan 200m lari berpagar manakala Aftar mengutip satu emas dalam acara 110m lari berpagar yang juga rekod baharu dan satu perak dalam acara 200m lari berpagar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 7:39 AM