AZEEM bangga selepas memecah rekod kejohanan 200m B-15 lelaki di Iskandar Puteri. — FOTO Facebook Kejohanan Olahraga MSSM 2019
AZEEM bangga selepas memecah rekod kejohanan 200m B-15 lelaki di Iskandar Puteri. — FOTO Facebook Kejohanan Olahraga MSSM 2019
Aida Adilah Mat


PELARI yang diberi jolokan ‘Usain Bolt Malaysia’, Azeem Fahmi terus cemerlang pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) apabila melakar kejayaan berganda dengan kejayaan meraih emas dalam acara 200 meter di Iskandar Puteri, Johor, hari ini.

Selepas cemerlang memecahkan rekod dalam acara 100m kelmarin hingga video lariannya tular dalam media sosial, hari ini pelari kelahiran Perak itu melaungkan amaran dia mampu menjadi pencabar dalam acara pecut apabila mengungguli acara 200m B-15.

Lebih menggembirakan Azeem, 15, turut melakar rekod baharu kejohanan 21.24 saat sekali gus meleburkan rekod lama miliknya 21.89s yang dilakukan tahun lalu.

Pingat perak acara itu dimenangi pelari Sabah, Jad Rizalman Washif dengan 22.66s manakala gangsa menjadi milik pelari Sarawak, Audray Macshaquille Hillary Jugah 22.71s.

Sebagai rekod ia emas ketiga Azeem pada Kejohanan MSSM selepas meraih emas acara 100m dan lompat jauh.

Bulan lalu, atlet itu turut mencuri tumpuan apabila meraih emas 100m pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara dengan melakar rekod kejohanan dengan masa 10.69 saat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 10:16 PM