IZZATUL Musfirah ketika memenangi emas acara 100 meter perempuan bawah 15 tahun dengan catatan masa 12.33 saat, Ahad lalu. FOTO MOHD AMIN JALIL
IZZATUL Musfirah ketika memenangi emas acara 100 meter perempuan bawah 15 tahun dengan catatan masa 12.33 saat, Ahad lalu. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas atlet Johor mendominasi saingan hari ketiga semalam, kini giliran atlet Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, apabila berjaya memperagakan aksi cemerlang.

Dia mencipta dua rekod baharu pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kebangsaan Kali Ke-63, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pagi tadi.

Izzatul Musfirah mencipta rekod itu menerusi acara akhir 200 meter (m) lari berpagar perempuan bawah 15 tahun selepas mencatat masa 27.43 saat (s) sekali gus emas ketiga yang diraihnya sepanjang kejohanan setakat ini.

Catatan itu memadamkan rekod sebelum ini yang dilakukan oleh Azreen Nabila Alias juga dari Terengganu pada tahun 2015 iaitu 27.56s.

Pada aksi separuh akhir acara 200m perempuan bawah 15 tahun pagi tadi, Izzatul Musfirah juga berjaya mencatatkan rekod baharu MSSM selepas mencatat masa 24.94s.

Dia memecahkan rekod berusia 20 tahun yang dilakukan oleh Fauziah Abd Razak dari Perak yang pada ketika itu mencatatkan masa 25.09s.

Sebelum ini, dia berjaya meraih emas acara 100m perempuan bawah 15 tahun dan membantu kuartet 4×100 meter perempuan bawah 15 tahun Terengganu memenangi emas, semalam.

Sementara itu, atlet Selangor Nur Aina Aleefa Zukli turut mencipta rekod baharu kejohanan dalam acara lempar cakera perempuan bawah 15 tahun menerusi jarak balingan 40.06m mengatasi rekod milik atlet Sarawak Grace Wong Xiu Mei yang melakukan 38.75m.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 2:20 PM