KAPAL tunda Massive 6
KAPAL tunda Massive 6
Mohd Ruzaini Zulkepli


Kinarut: Empat rakyat tempatan yang diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata di sempadan perairan Pulau Ligitan, Semporna pada 1 April lalu disahkan masih dalam keadaan selamat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, semua mangsa culik itu kini berada dalam tahanan kumpulan suspek dan usaha membebaskan mereka sedang dijalankan sedaya upaya.

"Maklumat kita mendapati semua mangsa culik ini dilaporkan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan mereka juga dilaporkan dalam keadaan yang selamat.

"Saya enggan mengulas terlalu banyak mengenai perkara ini dan bagi kami masa untuk menjalankan tugas... doakan sahaja semua mangsa dapat dibebaskan," katanya pada sidang media bersempena Majlis Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara di Dewan Serbaguna Batalion 16 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kinarut, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 6.15 petang 1 April lalu itu, empat kru kapal tunda Massive 6 yang berasal dari Sibu, Sarawak dikenali sebagai Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii,29; dan Johnny Lau Jung Hien, 21, diculik oleh sekumpulan lapan lelaki bertopeng dan lengkap bersenjata api sebelum dilarikan menggunakan bot laju di sempadan Pulau Ligitan, Semporna.

Berita berkaitan

Empat orang kita dilarikan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 1:35 PM