Empat kru kapal tunda rakyat Malaysia yang diculik yang diculik sekumpulan lelaki bersenjata di perairan Ligitan, Semporna. Jumaat lalu. - Foto FAIL
Empat kru kapal tunda rakyat Malaysia yang diculik yang diculik sekumpulan lelaki bersenjata di perairan Ligitan, Semporna. Jumaat lalu. - Foto FAIL
Mohd Ruzaini Zulkepli


Kota Kinabalu: Polis masih berusaha mengesan lokasi empat rakyat tempatan yang diculik sekumpulan lapan lelaki bersenjata berhampiran sempadan Pulau Ligitan, Semporna, Jumaat lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata, belum ada sebarang petunjuk diterima pihaknya setakat ini bagi mengesan empat mangsa culik itu sama ada sudah dilarikan ke negara jiran atau tidak.

“Kita masih belum terima apa-apa petunjuk berhubung lokasi empat mangsa yang diculik tempoh hari.

" Polis masih berusaha mengesan mereka dan menyiasat daripada segenap aspek, "katanya ketika dihubungi,sebentar tadi.

Jelas beliau, pihaknya mengesahkan belum menerima sebarang panggilan daripada kumpulan penculik terbabit untuk menuntut wang tebusan.

" Belum ada perkembangan terbaru yang polis terima setakat ini termasuklah panggilan daripada kumpulan (suspek) berkenaan.

"Sebarang maklumat berhubung kejadian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, " katanya.

Dalam kejadian jam 6.15 petang kelmarin itu, empat kru kapal tunda Massive 6 berasal dari Sibu, Sarawak, dikenali sebagai Wong Teck Kang,31, Wong Hung Sing, 34, Wong Teck Chii, 29, dan Johnny Lau Jung Hien, 21, diculik sekumpulan lapan lelaki bertopeng dan lengkap bersenjata api sebelum dilarikan dengan bot laju di sempadan Pulau Ligitan, Semporna.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 3:20 PM