BARISAN pemanah negara bersama  Jae-hyung (dua dari kiri) dan staf sokongan di Antalya, Turki.
BARISAN pemanah negara bersama Jae-hyung (dua dari kiri) dan staf sokongan di Antalya, Turki.
Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Sikap tidak cepat berputus asa dan tenang menjadi kunci kejayaan trio memanah negara dalam memastikan tiket ke Olimpik Rio malam kelmarin.

Pemanah negara, Haziq Kamaruddin berkata, mereka kekal tenang selepas terlepas peluang mengesahkan tiket ke Olimpik lebih awal apabila kecundang 0-6 kepada Indonesia pada separuh akhir.

“Kami ada berbincang sesama sendiri lepas tewas kepada Indonesia. Kami percaya masih ada peluang dan tidak boleh berputus asa.

“Kami cuba mematuhi arahan jurulatih (Lee Jae-hyung) yang mahu kami melakukan rutin sama semasa latihan di Korea Selatan sebelum ini,” katanya.

Haziq bersama-sama Khairul Anuar Mohamad dan Muhammad Akmal Nor Hasrin berjaya meraih tiket untuk acara berpasukan ke Rio apabila bangkit menewaskan Jerman untuk meraih tempat ketiga.

Terdahulu mereka mengatasi saingan sengit Ukraine dan India apabila kemenangan ditentukan menerusi aksi ‘shoot-off’.

“Kami cuba mengurangkan tekanan dengan berbual dan tidak terlalu memikirkan mengenai pertandingan itu,” tambahnya yang beraksi di Olimpik 2012 London sebelum ini.

Tambahnya, kejayaan itu sesuatu yang menggembirakan selepas menjalani latihan dengan gigih dan keras.

“Terdapat perubahan ketara dari aspek panahan yang saya lakukan. Saya gembira kerana segala usaha keras selama ini tidak sia-sia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2016 @ 5:22 AM