ANTARA 18 individu yang berkumpul bermain judi dan mahjong, ditahan polis. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA 18 individu yang berkumpul bermain judi dan mahjong, ditahan polis. FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Kegiatan 18 individu termasuk seorang wanita warga Myanmar menyewa sebuah rumah kampung dua tingkat di Sama Gagah, di sini, untuk bermain judi dan mahjong mengundang padah apabila ditahan polis, petang tadi.

Bertindak melalui hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang yang diketuai Asisten Superintendan Mohd Fairuz Mostafa menyerbu rumah berkenaan kira-kira 4 petang.

Hasil serbuan itu, 18 individu berusia 30 hingga 80 tahun didapati berkumpul bermain judi dan mahjong sebelum kesemuanya ditahan untuk tindakan lanjut.

Menurut sumber, sekumpulan individu terdiri daripada 17 lelaki dan seorang wanita warga asing itu menyewa rumah berkenaan baru-baru ini untuk melakukan aktiviti perjudian dan permainan mahjong sempena Tahun Baharu Cina.

"Bagaimanapun, kegiatan itu diketahui dan serbuan dijalankan sebelum kesemua mereka yang terdapat dalam rumah berkenaan ditahan.

"Dalam serbuan itu, kesemua peralatan untuk bermain judi dan mahjong serta wang tunai berjumlah RM16,000 dirampas untuk tindakan selanjutnya," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais mengesahkan penahanan 18 individu berkenaan.

Menurutnya, kesemua mereka bukan sahaja ditahan kerana kesalahan bermain berjudi tetapi turut didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) dan Seksyen 4(1)(C) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar PKP.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 9:29 PM