Lizam Ridzuan


KAWASAKI Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) sebagai pengedar utama motosikal jenama Kawasaki memperkenalkan dua model baharu berprestasi tinggi iaitu Ninja ZX-10RR dan Ninja ZX-6R untuk pasaran tempatan di Kuala Lumpur, hari ini.

Model superbike itu diasaskan daripada jentera perlumbaan Kawasaki Racing Team (KRT) yang digunakan oleh pelumba Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), Jonathan Rea dengan enjin 1,000 cc dan kuasa kuda melebihi 204 PS.

Ninja ZX-10RR hanya dikeluarkan sebanyak 500 unit sahaja di seluruh dunia dan untuk ciri eksklusif setiap satu daripada model itu mempunyai nombor siri pembuatan.

Model itu juga menerima rod sambungan titanium binaan khas bagi prestasi enjin dan casis lebih baik dengan berat dikurangkan sebanyak 102 gram memberi kelebihan untuk kawalan lebih baik pada selekoh.

Supersport Ninja ZX-6R pula dijana enjin 636 cc dengan kelebihan daya kilas rendah dan pertengahan yang berkuasa sesuai bagi kegunaan harian dan pelbagai bentuk jalan raya.

Ia juga dilengkapi Penganjak Pantas Kawasaki (KQS), Sistem Brek Anti-Kunci Pintar Kawasaki (KIBS) dan Kawalan Cengkaman Kawasaki (KTRC) dengan tiga mod tunggangan termasuk pada jalan basah.

Untuk pasaran Malaysia Ninja ZX-10RR dijual pada harga RM159,900 dan Ninja ZX-6R pada harga RM79,900 (semua harga atas jalan tanpa insurans) dan bakal berada di pasaran awal tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 3:18 PM
PENGERUSI Eksekutif Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd, Ahmad Faez Yahaya (kiri) dan Pengurus Besar & Pengarah Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd, Datuk Jeffrey Lim pada majlis pelancaran. FOTO Aswadi Alias
PENGERUSI Eksekutif Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd, Ahmad Faez Yahaya (kiri) dan Pengurus Besar & Pengarah Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd, Datuk Jeffrey Lim pada majlis pelancaran. FOTO Aswadi Alias