DARI kiri  Kilichev, Vokhid Shodiev, Junio de Aquino dan  Oliviera sandaran Perak musim ini.
DARI kiri Kilichev, Vokhid Shodiev, Junio de Aquino dan Oliviera sandaran Perak musim ini.
Oleh Azizan Hashim


Ipoh: Pemain import ketiga Perak Elias Fernandes Oliviera belum mahu memulakan kerja dengan pasukan Bos Gaurus gara-gara sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) yang belum tiba.

Begitu penjelasan diberikan Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan ketika ditanya mengenai kedudukan pemain Brazil itu yang tidak turun beraksi ketika perlawanan persahabatan menentang PKNS FC, malam kelmarin.

Pemain itu sekadar menjadi penonton ketika rakan sepasukannya mengerah kudrat untuk mencapai kemenangan 2-0.

“ITC belum sampai lagi, jadi dia tidak mahu bermain. Itu persetujuan yang dibuat,” katanya selepas majlis menandatangani kontrak pemain import keempat pasukan Yob, Oybek Kilichev dari Uzbekistan, semalam.

Tindakan Elias, 24, yang memeterai perjanjian dengan Perak pada 11 Januari lalu itu menimbulkan pelbagai tanda tanya dalam kalangan peminat pasukan Yob.

Mereka hairan dengan apa yang berlaku itu sedangkan Oybek yang baru tiba pada Selasa lalu terus menyertai latihan malah turut bermain malam kelmarin.

Bagi peminat, ini pertama kali mereka mendengar pemain perlukan ITC untuk turun berlatih dan bermain dalam perlawanan persahabatan.

Sehubungan itu peminat berharap Perak tidak membiarkan diri diperkotak-katik oleh pemain dan ejen mereka.

Sebaliknya menurut mereka, Perak sebagai majikan perlu menggunakan hak dan kuasanya terhadap seseorang pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2016 @ 6:07 AM